Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barap buruan ramai pemancing

    Oleh Raz AS –

    Hampala macrolepidota atau lebih dikenali sebagai ikan sebarau di negara jiran, Malaysia, hampala barb dalam bahasa Inggerisnya, atau juga sebagai ikan barab atau barap di negara kita merupakan spesies ikan air tawar daripada keluarga Cyprinidae.

    Ikan barap merupakan ikan yang dikenali menghuni kawasan sungai-sungai kecil berair jernih terutama di kawasan hulu sungai dan jeram yang dasarnya berpasir atau berbatu.

    Walau bagaimanapun ikan ini juga boleh menyesuaikan diri di sungai-sungai yang dasarnya berlumpur dan kawasan takungan air (resevoir) seperti di kawasan empangan.

    Oleh itu ia dianggap sebagai spesies ikan air tawar yang suka berhijrah.

    Nama ikan barap dipercayai berkemungkinan berasal daripada nama Inggeris bagi keluarga besar spesies ini iaitu spesies ikan barb yang merangkumi ikan-ikan air tawar seperti ikan lampam, kap, kelah dan lain-lain lagi yang satu keluarga dengannya.

    Ikan barap merupakan buruan popular dalam kalangan pemancing. – GAMBAR OLEH SANDEEP SINGH GILL

    Ikan yang boleh membesar sehingga 70cm panjang ini mempunyai sisik besar berwarna keperakan dan keemasan. Bentuk badannya panjang membulat dengan kepala yang besar.

    Siripnya pula berwarna jingga kemerahan dan ekornya pula mempunyai warna hitam pada bahagian atas dan bawahnya.

    Selalunya ikan barap mempunyai garis atau tompok hitam pada bahagian badannya di bawah sirip dorsal yang kadang-kadang memanjang sehingga ke sirip pelvisnya. Walau bagaimanapun pada sesetengah spesimen ciri ini tidak begitu kelihatan atau pudar.

    Ikan barap merupakan ikan bersifat pemangsa yang menjadikan anak-anak ikan atau ikan-ikan kecil dan inverterbrat akuatik sebagai dietnya.

    Kerana pecutan renangannya yang padu, ikan ini merupakan spesies yang menjadi buruan popular di kalangan pemancing terutama kaki-kaki casting dan peminat pancingan layang.

    Ikan barap boleh ditemui di hampir kesemua negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Pulau Borneo.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda