Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Barbie ‘pukau’ media sosial Jepun

    SAITAMA – Dengan matanya yang besar dan senyuman menawan, Licca-chan dikenali sebagai ‘Barbie Jepun’.

    Dan daya tarikannya semakin memukau semua peringkat umur, dengan orang dewasa menjadikan boneka patung itu sebagai superstar media sosial.

    Seorang penggemar menyiar video patung plastik yang mencuit hati itu kepada lebih daripada sejuta pengikut di Instagram, sementara yang lain dengan cermat dan teliti mencipta pakaian miniatur dan mengongsikan foto-foto hasil penggambaran fesyen mereka.

    Minami Murayama, seorang suri rumah tangga berusia 34 tahun yang pernah bercita-cita menjadi pereka fesyen, memberitahu AFP bahawa ‘impiannya telah menjadi kenyataan’ disebabkan Licca-chan.

    “Jika saya melihat seorang wanita bergaya mengenakan sesuatu yang tidak dapat saya pakai disebabkan usia atau saiz tubuh badan saya, Licca-chan masih boleh memakainya dan nampak cantik,” kata Murayama, yang memiliki kira-kira 40 anak patung dan telah menjahit sendiri lebih daripada 1,000 pakaian patung bonekanya.

    Seorang pengumpul patung Barbie sedang menyusun patung Licca-chan semasa temu bual dengan AFP di pangsapurinya di Saitama. – AFP
    Anak patung Licca-chan milik Minami Murayama kelihatan di rumahnya di Yokohama. – AFP

    Model miniatur barangan harian untuk patung Licca-chan milik seorang pengumpul boneka Barbie. – AFP
    Ryoko Baba bergambar di depan koleksi Licca-chan semasa temu bual dengan AFP di rumahnya di Tarui. – AFP
    Kombinasi gambar menunjukkan Ryoko Baba (baris atas) bergambar dengan patung Licca-chan sementara memakai pakaian sedondon di rumahnya di Tarui, wilayah Gifu. – AFP
    Telefon bimbit dipasang di depan patung Licca-chan oleh seorang pencipta tanpa nama semasa temu bual dengan AFP di apartmen di Saitama. – AFP
    Ryoko Baba membuat kostum untuk anak patungnya di rumah di Tarui, wilayah Gifu. – AFP

    Licca-chan telah menjadi patung kegemaran anak-anak Jepun sejak muncul di kedai mainan pada tahun 1967, dan pengeluar Takara Tomy, telah menjual lebih daripada 60 juta anak patung tersebut.

    Biografi rasmi syarikat menggambarkan Licca-chan sebagai seorang gadis berusia 11 tahun dengan ibu pereka fesyen Jepun dan ayah pemuzik Perancis.

    Pada ketinggian 22 sentimeter, Licca-chan lebih kecil dan kurang glamor daripada Barbie, yang digambarkan oleh Murayama sebagai ‘seorang supermodel’ dibandingkan dengan penampilan Licca-chan yang nampak ‘biasa’.

    Murayama menghabiskan berjam-jam membuat pakaian untuk anak patungnya dan lebih suka denim, di mana suaminya membantu meluntur atau memutihkan untuk menjadikannya kelihatan ‘lusuh’.

    Dia telah membangun beberapa siri set yang kompleks, menggunakan peralatan kecil untuk menghiasi kafe mini dan studio fesyen.

    “Terdapat banyak pekerjaan yang ingin saya lakukan, seperti mengurus sebuah kafe atau kedai roti atau menjadi seorang pereka fesyen,” katanya. “Sudah tentunya, tidak mungkin saya dapat melakukan semuanya dalam kehidupan sebenar, tetapi saya dapat melakukan semua itu dalam dunia boneka,” ujarnya.

    Murayama adalah peminat saluran media sosial popular yang namanya diterjemahkan sebagai ‘Kehidupan Sebenar Licca-chan’. Ia menampilkan video dan foto Licca-chan dalam situasi yang lucu dan santai seperti kesulitan membuang kantung sampah yang penuh atau bersantai di rumah dalam baju tidur.

    Saluran itu menawarkan antidot untuk kehidupan ideal yang ditampilkan orang di dunia internet. Dia mempunyai lebih satu juta pengikut di Instagram, namun lebih suka namanya tidak diketahui atau dirahsiakan agar videonya tidak menimbul masalah di tempat kerjanya.

    “Licca-chan dalam Kehidupan Sebenar Licca-chan tidak menjalani kehidupan glamor – dia menjalani kehidupan sebenar dalam bilik bersepah-sepah dan membuat kesalahan,” beritahunya kepada AFP.

    “Jika kamu menunjukkan kepada orang bahawa seseorang seperti Licca-chan menjalani kehidupan seperti itu, maka ia memberikan mereka keberanian untuk berasa selesa dengan diri mereka sendiri,” tambahnya.

    Takara Tomy tidak begitu menyukai ‘Kehidupan Sebenar Licca-chan’, mengatakan video-video tersebut mempunyai ‘pandangan dunia yang berbeza’ daripada imej boneka yang dilindungi ketat itu. Namun saluran tersebut berjaya menyentuh perasaan peminat orang dewasa Licca-chan, yang membentuk komuniti dalam talian dan saling bertukar pakaian dan aksesori buatan sendiri.

    Ryoko Baba, seorang pereka grafik berusia 33 tahun, bermain dengan Licca-chan sejak dari kecil dan menghidupkan kembali minatnya kira-kira dua tahun lalu sebagai satu cara untuk menghilangkan stres.

    Menurutnya, kesan berlarutan pandemik COVID telah memberikan orang lebih banyak masa diluangkan di rumah dengan hobi mereka dan kurang peluang untuk keluar dari rumah.

    “Apabila awda ingin keluar tetapi tidak dapat, awda tidak berpeluang untuk membeli pakaian baharu,” katanya. Ramai orang telah memuaskan keinginan itu dengan mendandan atau mengenakan pakaian untuk anak patung, kata Baba, yang sering menghasilkan semula pakaian dari almari pakaiannya sendiri untuk dipakai oleh puluhan anak patung miliknya. Takara Tomy menyedari jumlah peminat dewasanya yang semakin berkembang dan telah melancarkan ‘koleksi anak bergaya’ disasarkan pada pelanggan yang lebih tua.

    Maruyama berkata ‘terdapat ramai orang dewasa yang bermain dengan mainan kanak-kanak’ di Jepun di mana ‘tidak adanya pemisahan yang sebenar’ antara kedua-duanya, dengan pengumpul set kereta api sebagai contoh.

    Baba, yang menggambarkan Licca-chan sebagai ‘ikon negara’, percaya daya tarikan anak patung tersebut akan berkembang pesat.

    “Baru-baru ini saya melihat banyak komen daripada orang yang mengatakan mereka tidak tahu bahawa dunia ini wujud,” katanya. “Saya berharap saya dapat membantu menyebarkan berita tersebut.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...