MIAMI, 20 JULAI – Raphinha membuat penampilan sulungnya bersama Barcelona dengan menyumbang satu gol dan dua assist ketika kelab gergasi Sepanyol itu memulakan empat perlawanan jelajah Amerika Syarikat (AS) mereka dengan membelasah Inter Miami yang dimiliki oleh David Beckham, 6-0 kelmarin.
Pemain Brazil yang ditandatangani dari Leeds United pada awal bulan ini dengan harga kira-kira AS$60 juta itu, memulakan aksi pertama yang memberangsangkan untuk kelab baharunya dengan jaringan pada separuh masa pertama selepas Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol pembukaan di Stadium Drv Pnk.
Sementara itu, Robert Lewandowski tidak diturunkan menjelang pelancaran rasminya di Miami kelmarin berikutan perpindahannya dari Bayern Munich. Justeru itu, Raphinha diberikan peranan untuk menghiburkan ribuan penonton yang hadir dan membuatkan mereka teruja mengenai masa depan pemain itu.
Pemain Brazil itu membuat penampilan sulung bersama rakan pemain baharu, Andreas Christensen, yang meninggalkan Chelsea pada penghujung musim, dan kedua-duanya mempamerka aksi yang mengagumkan ketika menentang pasukan kendalian Phil Neville.
Seperti yang diramalkan, Barcelona mendominasi penguasaan bola menentang pasukan MLS dan bekas penyerang Arsenal, Aubameyang hampir menyumbat gol pertama Barca pada minit ke-15 apabila percubaan jarak dekatnya melepasi tiang.
Kelincahan pemain tersebut memang tidak dapat dinafikan apabila dia menghasilkan jaringan chip dengan tenang melepasi penjaga gol Inter Miami, Nick Marsman menerusi serangan cemerlang yang dimulakan oleh Pedri dan Raphinha.
Pada minit ke-25 perlawanan, giliran Raphinha untuk mencatatkan nama sebagai penjaring. Pemain Brazil itu menyempurnakan hantaran lintang Alejandro Balde dengan penuh gaya untuk menggandakan pendahuluan Barcelona. – AFP