MADRID, 31 Mac – Lionel Messi meneruskan aksi luar biasa ketika dua jaringannya termasuk menerusi sepakan percuma menjulang Barcelona mengatasi Espanyol 2-0 sekali gus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu La Liga.
Walaupun pasukan pelawat berjaya memberi saingan kepada tuan rumah di Camp Nou, Messi jelas memiliki sentuhan hebat untuk memastikan Barcelona berkelebihan 10 mata ke atas Atletico Madrid yang meraih kemenangan 4-0 ke atas Alaves.
Messi kini sudah merekodkan lapan jaringan dalam empat perlawanan terakhir Barcelona untuk mendahului carta penjaring terbanyak dengan 31 gol, lebih 13 gol mengatasi Luis Suarez.
“Saya tidak tahu dia akan menjaringkan gol sepakan percuma seperti itu,” kata pengendali Barcelona, Ernesto Valverde.
“Saya boleh katakan bahawa kami sudah merancangnya tetapi segalanya terpulang kepadanya. Dia tidak memerlukan pendapat saya dan dia berjaya menjaringkan gol.”
Bintang Argentina itu merekodkan penampilan yang ke-675 bersama Barcelona dengan gaya tersendiri, memintas Andres Iniesta di kedudukan kedua pemain paling banyak beraksi bersama kelab itu, ketinggalan 102 penampilan berbanding Xavi Hernandez.
Walaupun baharu pulang daripada tugasan antarabangsa dengan keputusan kurang baik ekoran kekalahan Argentina kepada Venezuela, Valverde jelas gembira ia langsung tidak menjejaskan prestasi Messi. “Tidak kira pasukan mana yang dia bermain, Messi tetap pemain yang sama. Dia juga pemain yang sama sekiranya dia bermain di Australia.
“Kami gembira untuk memilikinya dan sesuatu yang berharga buat saya untuk melatihnya,” katanya. – AFP





























