BARCELONA, 2 Okt – Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika Barcelona menewaskan Las Palmas 3-0 dalam perlawanan yang diadakan secara tertutup selepas liga Sepanyol menolak untuk menundakan perlawanan itu di hari ketegangan meningkat referendum Catalonia.
Sekurang-kurangnya 91 orang cedera apabila polis rusuhan Sepanyol melepaskan tembakan peluru getah dan merempuh stesen-stesen undian yang diadakan aktivis bagi kemerdekaan yang dianggap tidak sah oleh kerajaan Sepanyol kelmarin.
Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata kelab telah membuat keputusan untuk bermain dalam perlawanan secara tertutup di Camp Nou, yang berkapasiti 99,000 sebagai bantahan ke atas pertempuran ganas itu berbanding sebagai kebimbangan keselamatan.
“FC Barcelona mengecam kejadian yang terjadi di beberapa tempat Catalonia hari ini, yang menghalang penduduknya daripada menggunakan hak demokratik mereka untuk menyatakannya secara bebas,” menurut satu kenyataan Barcelona.

“Kami sudah melakukannya secara tertutup agar semua orang boleh melihat tentangan kami atas apa yang sudah terjadi,” tambah Bartomeu.
Dalam satu kenyataan, La Liga menegaskan ‘tidak terdapat motif bagi perlawanan itu ditundakan’.
Sekiranya Barca enggan bermain dalam perlawanan itu, mereka mungkin berdepan dengan pemotongan tiga mata dari La Liga atas kesalahan meninggalkan perlawanan menentang Las Palmas.
“Keengganan La Liga membatalkan perlawanan dan menundakannya ke hari lain, bermakna kehilangan enam mata buat pasukan,” kata Bartomeu. – AFP