Barca menang bergaya

MADRID, 7 OKT – Barcelona menemui semula prestasi sebenar dan tiga pasukan gergasi La Liga Sepanyol kembali ke puncak carta selepas juara bertahan memperagakan aksi mengagumkan apabila membelasah Sevilla 4-0, awal pagi tadi.

Lionel Messi meledak gol pertamanya musim ini dengan melencongkan sepakan percuma menarik di Nou Camp selepas tiga gol dalam tempoh lapan minit menerusi Luis Suarez, Arturo Vidal dan Ousmane Dembele menamatkan cabaran Sevilla.

“Amat penting buat kami,” kata jurulatih Ernesto Valverde sekalipun pasukannya mengakhiri perlawanan itu dengan sembilan pemain. “Ia permulaan musim yang agak pelik dan kami tidak meraih mata yang kami mahukan.”

Suarez membuka tirai jaringan apabila sepakan gunting kaki kirinya ternyata lebih bagus berbanding rembatan voli dijaringkannya ketika menang aksi Liga Juara-Juara ke atas Inter Milan pada pertengahan minggu lalu.

Vidal kemudian menamatkan gerakan menakjubkan yang membabitkan semua 11 pemain Barca dan Dembele meluru pantas untuk menyumbat gol ketiga sebelum Messi menokok gol keempat pada babak kedua.

Perlawanan itu agak tercemar pada lewat aksi apabila pemain Barcelona yang tampil kali pertama Ronald Araujo dibuang padang dan Dembele menyusul selepas menerima kad kuning kedua.

Laporan pengadil menyatakan Dembele dibuang padang kerana memanggil Mateu Lahoz “terlalu teruk.” Dia kini mungkin terlepas aksi Clasico pada 26 Oktober ini.

Kemenangan itu melonjakkan Barcelona ke tangga kedua carta liga, dua mata di belakang Real Madrid dan satu di depan Atletico, yang seri tanpa jaringan di Real Valladolid. – AFP

Luis Suarez (kiri) mengucapkan tahniah kepada Arturo Vidal selepas menjaringkan gol semasa menentang Sevilla dalam aksi La Liga di Stadium Camp Nou, kelmarin. – AFP