BARCELONA, 2 OKT – Robert Lewandowski mencetak dua gol ketika Barcelona melakar kemenangan bergaya 5-0 ke atas Young Boys dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Juara lima kali itu menebus kekalahan di tangan Monaco dalam perlawanan pembukaan dengan kemenangan besar ke atas lawan dari Switzerland.
Selain jaringan Lewandowski, gol daripada Raphinha, Inigo Martinez, serta jaringan sendiri pemain lawan membantu Barcelona mengukuhkan perbezaan gol mereka dalam saingan kumpulan.
“Kami sedar selepas kekalahan kepada Monaco di Liga Juara-Juara, kami perlu memberi respons segera dalam perlawanan seterusnya, dan kami berjaya melakukannya dengan baik,” kata Raphinha kepada Movistar.
Menurutnya Barca perlu memberikan respons pantas selepas tewas dalam perlawanan La Liga menentang Osasuna beberapa hari lalu.
“Lebih mudah bermain di sini di laman sendiri kerana sokongan penuh daripada penyokong,” katanya.
Dalam format baharu Liga Juara-Juara, dengan satu jadual untuk semua pasukan, Raphinha menekankan kepentingan menjaringkan banyak gol untuk membantu perbezaan gol pasukan.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick, menurunkan barisan terkuatnya selepas kekalahan kepada Monaco, walaupun Young Boys sedang bergelut dalam liga domestik. Pasukan dari Switzerland itu hanya mencatat satu kemenangan daripada lapan perlawanan dan tewas besar kepada Aston Villa dalam penampilan Eropah mereka.
Barcelona membuka jaringan seawal minit kelapan, apabila Lewandowski menyempurnakan hantaran silang Raphinha. Raphinha kemudian menggandakan jaringan dengan gol dari jarak dekat selepas percubaan Pedri dihalang. Inigo Martinez menambah gol ketiga Barcelona menerusi tandukan dari sepakan percuma Pedri. – AFP