Barca menang besar

MADRID, 15 Jan – Luis Suarez menjaringkan dua gol dan Lionel Messi terus menampilkan magis ketika Barcelona kini hanya dibezakan dua mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid selepas kemenangan besar 5-0 ke atas Las Palmas, awal pagi tadi.

Real begitupun masih kekal di landasan terbaik selepas masih memiliki kelebihan dua perlawanan dan dijadual beraksi menentang kelab di tangga ketiga, Sevilla awal pagi esok.

Penyerang sensasi Uruguay, Suarez membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 namun gergasi Catalan itu terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menggandakan jaringan apabila Messi menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Barca meneruskan dominasi menerusi jaringan kedua Suarez pada minit ke-57 diikuti gol daripada Arda Turan (m59) dan Aleix Vidal (m80) melengkapkan jaringan besar tuan rumah.

Kemenangan besar terbabit jelas mengurangkan sedikit ketegangan di Nou Camp membabitkan pemain dan pengurus kelab itu yang berpunca daripada perbincangan lanjutan kontrak Messi yang dijadual berakhir pada 2018.

Suarez mengkritik Ketua Pegawai Eksekutif Barca, Oscar Grau yang mendakwa kelab itu perlu menunjukkan kewangan yang “masuk akal’ ketika rundingan kontrak baharu pemain Argentina itu.

Suarez (kanan) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, Lionel Messi semasa perlawanan bola sepak Sepanyol La Liga antara Barcelona dan Las Palmas di Camp Nou di Barcelona, Sepanyol, kelmarin. – AP
Suarez (kanan) ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, Lionel Messi semasa perlawanan bola sepak Sepanyol La Liga antara Barcelona dan Las Palmas di Camp Nou di Barcelona, Sepanyol, kelmarin. – AP

Semalam, bekas pemain Barca, Pere Gratacos dipecat selaku Pengarah Institusi Perhubungan kelab itu atas dakwaannya yang mengatakan Messi “tidak akan menjadi sebagus itu” tanpa bantuan rakan sepasukannya.

“Memperbaharui kontrak Messi adalah amat penting terhadap kelab kami,” kata Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu kepada stesen televisyen Catalan, TV3.

“Saya sentiasa berkata kepada peminat-peminat Barca untuk bertenang. Saya secara peribadi mengendalikan pembaharuan kontrak Leo.

“Saya sudah bercakap sedikit dengan pasukan. Kami akan bercakap apabila ada berita untuk diberikan. Ketika ini, perkara berjalan seperti dirancang.”

Bagi memberi peluang terhadap Messi untuk membuktikan apa yang dikatakan Gratacos salah, bos Barca, Luis Enrique membuat tindakan mengejut apabila meninggalkan beberapa bintangnya termasuk Neymar dan Andres Iniesta di bangku simpanan dan Gerard Pique tidak berada dalam skuad. – AFP