Barca menang mudah benam Ferencvaros

BARCELONA, 21 OKT – Barcelona mengetepikan faktor negatif yang melanda kelab itu di Liga Juara-Juara apabila membelasah kelab kerdil dari Hungary, Ferencvaros 5-1 pada perlawanan peringkat Eropah pertama semalam, sejak mereka dimalukan Bayern Munich pada musim lalu.

Lionel Messi menyempurnakan penalti sebelum pemain berusia 17 tahun, Ansu Fati menambah dua jaringan gol menarik dengan satu daripadanya hasil voli yang cantik darinya sendiri dan kemudian memberikan assist untuk jaringan Philippe Coutinho.

Masalah pertahanan Barca terus menghantui di Stadium Camp Nou dengan Gerard Pique dibuang padang selepas sejam kerana mengasari Tokmac Nguen dalam kotak penalti.

Ihor Kharatin meledak gol menerusi jaringan penalti tersebut, namun jaringan daripada Pedri dan Ousamane Dembele menamatkan harapan Ferencvaros untuk kembali dan memberikan Barcelona kemenangan yang sangat diperlukan menjelang pertembungan Clasico menentang Real Madrid pada hujung minggu ini.

“Kami mengharungi perlawanan ini dengan motivasi terbaik,” kata Fati.

“Ia perlawanan Clasico, perlawanan yang saya sentiasa idamkan untuk beraksi.”

Kemenangan besar itu meletakkan mereka di kedudukan teratas Kumpulan G tetapi kad merah buat Pique bermakna dia akan terlepas perlawanan bertemu Juventus yang sebelum itu menewaskan Dynamo Kiev. – AFP

Aksi bintang muda Barcelona, ​​Ansu Fati (tengah) ketika berdepan pemain pertahanan Ferencvaros semasa perlawanan Liga Juara-Juara antara FC Barcelona dan Ferencvaros TC di Stadium Camp Nou semalam. – AFP