Barca perlu bekerja lebih

MADRID, 11 Jan – Philippe Coutinho menjaringkan satu gol penting di laman lawan namun Barcelona perlu bekerja keras agar tidak tersingkir daripada Copa del Rey selepas kekalahan 1-2 di tangan Levante pada saingan pertama kelompok 16 terakhir, hari ini.

Lionel Messi, Luis Suarez dan Marc Andre ter Stegen adalah antara pemain utama yang direhatkan di Stadium City of Valencia, di mana Levante mendahului menerusi sepakan Erick Cabaco dan Borja Mayoral.

Coutinho, yang membuat penampilan pertamanya selepas hampir sebulan, menyempurnakan sepakan penalti minit ke-85 buat Barcelona menjelang perlawanan timbal bali di Camp Nou minggu depan.

Selepas terlepas beberapa perlawanan pada November lalu akibat kecederaan, Coutinho bergelut untuk mengekalkan kedudukannya dalam barisan utama Ernesto Valverde, namun gol selepas beraksi 90 minit memberi kelebihan kepadanya.

“Apabila Dembele tidak bermain, semua orang bertanyakan dia, kini apabila Coutinho tidak bermain, ia terbalik. Apabila anda tidak bermain dan tidak gembira, anda perlu berjuang untuk mengubahnya,” kata Valverde.

Valverde dipersalahkan musim lalu selepas Barca tersingkir Liga Juara-juara, yang berpunca akibat kegagalannya merehatkan pemain utama dalam Copa del Rey dan La Liga, yang kedua-duanya dimenangi kelab itu.

Dia tampaknya berminat untuk menukar barisan utamanya termasuklah menurunkan pemain pertahanan Jeison Murillo, yang dipinjam daripada Valencia pada Januari termasuklah pemain muda seperti Chumi Brandariz, Juan Miranda dan Carles Alena.

Ia merupakan pengenalan yang sukar, namun dengan Murillo dikalahkan untuk gol kedua Levante, manakala Miranda diganti pada separuh masa pertama dan diikuti oleh Chumi 13 minit kemudian. – AFP