MADRID, 18 Feb – Luis Suarez dan Jordi Alba masing-masing meledakkan satu gol ketika Barcelona menundukkan Eibar 2-0 awal pagi tadi, meneruskan rekod tanpa kalah dan mengukuhkan kedudukan di puncak La Liga.
Lionel Messi menjadi arkitek dalam kedua-dua jaringan menentang Eibar, yang menamatkan perlawanan di Ipurua dengan 10 pemain selepas Fabian Orellana diarah keluar pada separuh masa kedua.
Perlawanan jelas tidak menyenangkan buat skuad kendalian Ernesto Valverde yang terpaksa beraksi dalam keadaan hujan tetapi Barca meneruskan deretan tanpa kalah kepada 24 perlawanan musim ini untuk keseluruhan 31 perlawanan La Liga tanpa kalah.
Ia menyamai rekod mereka sebelum ini di bawah kendalian Pep Guardiola pada musim 2010/11.
Barca ketika ini mempunyai kelebihan 10 mata di puncak liga tetapi Atletico Madrid boleh merapatkan kedudukan itu apabila mereka menanti kunjungan Athletic Bilbao, hari ini.
Fokus Barcelona kini pasti beralih kepada aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge Rabu ini, dengan Valverde berkata Eibar sebagai lawan yang ideal menjelang pertemuan berkenaan.
“Eibar sentiasa meletakkan kamu di bawah tekanan, jadi ia adalah ujian yang baik. Kami benar-benar bergelut, kerana mereka berada di prestasi yang baik,” kata Valverde.
“Ia perlawanan yang amat sukar seperti yang kami jangkakan, dan kami akan cuba dan memastikan ia membantu kami sekali pun Liga Juara-Juara adalah kejohanan yang berbeza.”
Valverde menyenaraikan barisan terkuat dengan memilih Andres Iniesta dalam kesebelasan utama dan meninggalkan Philippe Coutinho dibangku simpanan, meskipun pemain Brazil itu tidak layak bermain di Liga Juara-Juara. Bagaimanapun Coutinho dimasukkan menggantikan Iniesta pada minit ke-63.
Barca menduhului perlawanan pada minit ke-16, selepas hantaran Messi menemui Suarez, yang mengelecek penjaga gol Marco Dimitrovic.
Manakala jaringan kedua hadir pada minit ke-88 menerusi Alba, percubaan Messi dinafikan Dimitrovic.