Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Barca ramal pendapatan 1.3 bilion euro

    BARCELONA, 20 SEPT – Barcelona telah meramalkan pendapatan sebanyak 1.255 bilion euro (AS$1.254 bilion) untuk musim 2022-23, dengan ramalan keuntungan sebanyak 274 juta euro.

    Pasukan Sepanyol itu mengalami tekanan ekonomi yang hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi memperoleh pengaruh kewangan pada musim panas ini dengan beberapa operasi yang membolehkan mereka mengukuhkan pasukan.

    Barca menandatangani penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski, pertahanan Sevilla Jules Kounde, pemain sayap Leeds United Raphinha dan pelbagai pemain lain secara percuma.

    Mereka mampu melakukannya selepas menjual 25 peratus hak televisyen mereka kepada firma pelaburan Sixth Street untuk 25 tahun akan datang, mengumpul lebih 500 juta euro. Barcelona juga menjual 24.5 peratus daripada syarikat produksi Barca Studios mereka kepada firma token peminat Socios.com dan jumlah yang sama sekali lagi kepada Orpheus Media, dengan harga sekitar 100 juta euro setiap satu.

    Perjanjian ini, ditambah dengan kepulangan penyokong beramai-ramai selepas kehadiran rendah musim lalu, bermakna jangkaan pendapatan mereka untuk musim depan telah meningkat daripada pendapatan tahun lalu sebanyak 1.017 bilion euro dan keuntungan sebanyak 98 juta euro.

    Pada musim 2020-21, Barcelona mencatatkan kerugian sebanyak 481 juta euro dan kelab itu dipersalahkan kerana tidak dapat memperbaharui kontrak penjaring terbanyak sepanjang masa mereka, Lionel Messi, menyebabkan dia menandatangani kontrak dengan Paris Saint-Germain secara percuma.

    Kelab itu berbelanja sakan selama beberapa tahun, membawa masuk pemain tengah Brazil Philippe Coutinho dari Liverpool dalam perjanjian rekod kelab bernilai sehingga 160 juta euro pada 2018, sebelum menjualnya kepada Aston Villa dengan jumlah kira-kira 20 juta euro. – AFP

    Pengurus Barcelona Xavi Hernandez memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara, kumpulan C antara Bayern Munich dan Barcelona di Arena Allianz di Munich, Jerman, 13 September 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...