MADRID, 6 Feb – Barcelona menyasarkan final keempat berturut-turut dalam Copa del Rey apabila Atletico Madrid berkunjung ke Camp Nou esok dengan tugasan getir untuk menterbalikkan defisit perlawanan separuh akhir pertama 2-1.
Jaringan daripada Luis Suarez dan Lionel Messi membolehkan Barca mempunyai kelebihan sebelum rehat di Vicenter Calderon pada Rabu.
Dan keduanya direhatkan bagi perlawanan ulangan itu apabila Suarez tidak beraksi dalam kemenangan 3-0 pada Sabtu lalu ke atas Athletic Bilbao, sementara Messi mendapatkan rehat bagi 25 minit terakhir selepas menjaringkan gol yang ke-31 musim ini.
“Ia adalah penting untuk menyedari bahawa untuk mencapai tiga objektif, kami perlukan keseluruhan skuad,” kata bos Barca, Luis Enrique dengan pasukannya akan menyasarkan tiga kejuaraan berganda terdiri daripada kejuaraan La Liga, Piala dan Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga tahun.
Namun, seorang pemain utama skuad Barca tidak akan beraksi bagi kunjungan pasukan Atletico, iaitu Neymar kerana digantung perlawanan.
Messi juga perlu berhati-hati kerana satu kad kuning akan mengetepikannya jika Barca mara.
Pasukan tuan rumah juga mungkin akan beraksi tanpa Gerard Pique dan Rafinha.
Pique dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas mengalami kekejangan groin, sementara Rafinha mengalami patah hidung dalam pertembungan bersama penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen pada hujung minggu.
Bagaimanapun, Andres Iniesta dan Sergio Busquets dijangka kembali, masing-masing selepas mengalami kecederaan hamstring dan lutut. – AFP