Barca sekadar seri, Koeman mula goyah

MADRID, 21 SEPT – Ronald Koeman mempertahankan taktikal pengurusannya selepas didakwa mengkhianati tradisi serangan Barcelona ketika sekadar seri 1-1 di laman sendiri menentang Granada semalam.

Koeman menurunkan Gerard Pique di pertengahan perlawanan untuk bergandingan dengan Luuk de Jong, manakala Ronald Araujo, seorang lagi pertahanan tengah, juga diletakkan dalam barisan serangan dalam usaha Barca mencari gol penyamaan selepas menerima 54 hantaran lintang sepanjang perlawanan.

Araujo akhirnya menanduk masuk gol penyamaan dalam masa kecederaan selepas Domingos Duarte meletakkan Granada di depan pada awal perlawanan tetapi wisel penamat menyaksikan penyokong Barcelona tidak berpuas hati dengan hanya membawa pulang satu mata.

“Kami menukar corak permainan kami sedikit. Ruang terbuka di bahagian tepi, bukan di tengah. Kami menurunkan Pique, De Jong dan Araujo, dan salah satu daripada hantaran lintang mereka menghasilkan keputusan seri,” kata Koeman.

Kedudukan Koeman mula goyah selepas kekalahan 3-0 di laman sendiri kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara, perlawanan di mana pasukannya gagal melakukan satu percubaan tepat. Selepas seri dengan Granada, peminat bertambah kecewa apabila menyaksikan corak permainan Barcelona diterapkan Koeman.

“Jika anda lihat senarai pemain, apa yang anda akan lakukan? Bermain tiki-taki? Tiki-taki apabila tiada ruang?

“Kami melakukan apa yang perlu. Kami cuba menang dengan cara lain. Kami tidak mempunyai pemain yang cekap dan pantas. Saya tidak akan cakap apa-apa lagi kerana semuanya dipersoalkan,” katanya.

Koeman menegaskan bahawa dia ‘tenang’ dan tidak takut akan masa depannya sebagai jurulatih Barcelona tetapi hubungan yang sudah tegang dengan presiden kelab Joan Laporta akan menghasilkan keputusan dan prestasi yang tidak baik.- AFP

Aksi penyerang Barcelona, Memphis Depay semasa perlawanan La Liga menentang Granada di Stadium Camp Nou, Barcelona, semalam. – AFP