Barca semakin sukar kejar Atletico

MADRID, 12 MEI – Lionel Messi menjaringkan sepakan voli cantik tetapi harapan Barcelona untuk mengejar kejuaraan mungkin sudah berakhir, selepas terikat 3-3 di gelanggang lawan ketika menentang Levante kelmarin sekali gus memberikan peluang kepada Real Madrid dan Atletico Madrid untuk menjarakkan jurang di puncak La Liga.

Barcelona sekali lagi tercicir mata yang mungkin memberikan kelebihan Atletico untuk berada empat mata di hadapan mereka dengan berbaki dua perlawanan jika mereka boleh mencatat kemenangan di Real Sociedad hari ini.

Real Madrid akan menjarakkan jurang kepada dua mata di hadapan pasukan Ronald Koeman jika mereka mencatat kemenangan pada Khamis di Granada.

Dengan keputusan terbaharu itu, tiada jaminan dalam apa yang sifatkan sebagai perlumbaan kejuaraan yang menarik dalam beberapa minggu kebelakangan, dengan kesemua pasukan pencabar tumbang di minggu-minggu terakhir.

Tetapi dengan hanya berbaki perlawanan dan berkemungkinan hanya dua pasukan yang masih bersaing, peluang Barcelona untuk merampas gelaran dari Real Madrid musim ini kelihatan tidak menjadi kenyataan.

Levante yang menduduki tangga ke-14 dan hanya sekali menang dalam lapan perlawanan terakhir tetapi berjaya menyaingi Barca di laman sendiri dalam tiga daripada empat perlawanan di laman mereka, dan kini mereka sekali lagi melakukannya. – AFP

Reaksi Lionel Messi kecewa setelah pasukannya sekadar seri 3-3 ketika bertemu Levante, kelmarin.- AP