BARCELONA, 23 Ogos – Barcelona meminta sekurang-kurangnya 8.5 juta euro (AS$10 juta) sebagai ganti rugi kerana Neymar melanggar kontrak, umum kelab itu semalam ketika rasa tidak puas hati berterusan terhadap perpindahan rekod dunia 222 juta euro ke Paris Saint-Germain.
Tindakan itu hadir selepas Barcelona menolak untuk membayar bonus berasingan sebanyak 26 juta euro kepada Neymar, setelah dia menandatangani kontrak selama lima tahun pada tahun lepas.
“Dalam undang-undang, kelab menggesa pemain itu mengembalikan jumlah yang sudah dibayar bagi pembaharuan kontraknya kerana dia tidak melengkapkan kontraknya; 8.5 juta euro sebagai ganti rugi; dan tambahan 10 peratus kerana melambatkan pembayaran,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.
Keluarga Neymar kemudian membalas dengan satu kenyataan melalui firma yang mewakili mereka.
“Berita ini diterima dengan rasa terkejut memandangkan pemain itu benar-benar menghormati kontrak ketika itu,” kata NN Consultoria.
Meskipun berada di bawah kontrak, Barcelona tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perpindahan Neymar ke PSG awal musim ini apabila pasukan Perancis itu memenuhi harga klausa beli dalam kontrak pemain itu.
Barca menambah permintaan itu dikemukakan ke atas Neymar pada 11 Ogos dengan mahkamah pekerja Barcelona, lapan hari selepas perpindahan mengejutnya ke Ligue 1.
Gergasi Catalan itu juga telah menyerahkan tuntutan itu kepada FIFA dan Persekutuan Bola Sepak Perancis melalui Persekutuan Bola Sepak Sepanyol.
Bahkan, Barca menggesa PSG untuk membayar jumlah wang yang mereka tuntut jika Neymar, yang telah dilaporkan meraih pendapatan 30 juta euro setahun selepas cukai bagi tempoh lima tahun di Paris, tidka mahu memenuhi permintaan mereka.
PSG memberikan respons lewat kelmarin dengan berkata mereka ‘terkejut’ dengan tindakan Barcelona itu.
Tindakan Barca itu hadir dua hari selepas Neymar dengan pedasnya mengkritik lembaga pengarah kelab, selepas dia menjaringkan dua gol dalam penampilan pertama di gelanggang sendiri ketika PSG menewaskan Toulouse 6-2.
Perselisihan antara pemain utama Barca dan lembaga terbukti apabila Neymar memuat naik gambar sambil tersenyum di laman Instagramnya ketika melawat bekas rakan sepasukannya termasuk Lionel Messi, Luis Suarez, Gerard Pique dan Ivan Rakitic semalam.
“Kawan-kawan yang saya rindui,” tulis Neymar bersama gambarnya dengan Messi dan Suarez.
Messi masih belum secara rasminya menandatangani kontrak baru, mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya. – AFP