BARCELONA, 14 Ogos – Cristiano Ronaldo telah menjaringkan gol dan juga dibuang padang ketika Real Madrid menewaskan Barcelona, yang kehilangan Neymar, dengan kemenangan 3-1 dalam perlawanan pertama Piala Super Sepanyol awal pagi tadi.
Ronaldo, hanya diperkenalkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua, telah dilayangkan dua kad kuning selepas memberikan Madrid pendahuluan 2-1 dengan perlawanan berbaki 10 minit lagi.
Namun, Real menggandakan kelebihan mereka meskipun bermain 10 orang, terima kasih kepada jaringan lewat Marco Asensio.
Terdahulu, penalti Lionel Messi telah membatalkan jaringan sendiri Gerard Pique ketika Barca gagal mendapatkan rangsangan awal musim yang diperlukan selepas pemergian Neymar ke Paris Saint-Germain.
Kedua pasukan akan bertemu lagi di Madrid bagi perlawanan kedua pertengahan minggu ini.

“Saya bangga dengan para pemain kerana meskipun bermain 10 orang, mereka bermain dengan sangat baik,” kata bos Madrid, Zinedine Zidane, yang berharap Madrid dapat membuat rayuan ke atas kad merah Ronaldo, bagi membolehkan dia beraksi di perlawanan kedua.
Pemain Terbaik Dunia itu telah dilayangkan kad kuning kerana membuka baju selepas menjaringkan gol dan hanya dua minit kemudian kad kuning kedua telah diberikan selepas pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea, menganggap Ronaldo sengaja menjatuhkan diri untuk meraih penalti.
Bagaimanapun, Ronaldo mungkin mendapat masalah lebih teruk lagi selepa dia menolak belakang pengadil selepas dilayangkan kad merah ke-10 dalam kerjayanya.
“Anda perlu membuat rayuan kerana untuk mengarahkan seorang pemain utama dengan perlawanan Clasico berbaki 10 minit, pengadil perlu menilai situasi dengan cara yang berbeza,” kata kapten Madrid, Sergio Ramos. – AFP