Barca tidak sanggup ‘korbankan’ Messi

MADRID, 16 OGOS – Barcelona tidak akan merisikokan Lionel Messi untuk perlawanan pembukaan La Liga menentang Athletic Bilbao awal pagi Sabtu, menurut jurulatihnya Ernesto Valverde.

Messi mengalami kecederaan paha semasa menjalani latihan minggu lepas dan terlepas dua perlawanan pra musim menentang Napoli. Mereka memulakan misi mempertahankan gelaran di San Mames Sabtu ini dan Valverde berkata Messi masih belum berlatih menjelang perlawanan itu.

“Kami tidak akan mengambil sebarang risiko ke atas mana-mana pemain, begitu juga dengan Messi,” kata Valverde pada satu sidang media.

“Dia masih belum berlatih atau beraksi bersama pasukan. Kita akan menunggu tetapi pemulihannya sangat baik.” Valverde juga ditanya mengenai potensi perpindahan penyerang Paris Saint-Germain, Neymar ketika Barca dan Real Madrid berebut untuk menandatangani pemain itu sebelum jendela perpindahan tutup pada 2 September.

“Saya fokus pada pasukan dan pemain yang saya miliki, saya tidak memikirkan pemain yang berada dalam pasukan lain,” katanya. Barcelona sudah membelanjakan kira-kira 250 juta euro musim panas ini dan dipercayai mana-mana bidaan bagi Neymar perlu melibatkan pemain-pemain yang ada dalam perjanjian itu.

Nelson Semedo antara nama yang dikaitkan dengan kemungkinan pertukaran itu, bersama dengan Philippe Coutinho dan Ivan Rakitic. – AFP

Lionel Messi melambai ke arah penyokong sebelum perlawanan menentang Arsenal di Camp Nou pada 4 Ogos 2019. – AP