Barca tundukkan Valencia, kekal dalam persaingan

VALENCIA, 3 MEI – Lionel Messi terlepas peluang menjaringkan gol melalui sepakan penalti tetapi masih mampu meledak dua gol, termasuk sepakan percuma menarik, ketika Barcelona mencatat kemenangan dalam perlawanan berpesta gol menentang Valencia, kelmarin.

Dengan kemenangan tersebut membolehkan Barcelona untuk terus merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga.

Selepas Real Madrid dan Atletico Madrid kedua-dua pasukan mencatat kemenangan, Barca tidak dapat melakukan sebarang kesilapan di Mestalla, dan dengan kemenangan 3-2 tersebut sekali gus mengurangkan jurang berada di belakang Atletico kembali kepada dua mata, dengan empat perlawanan berbaki.

Gabriel Paulista meletakkan Valencia di hadapan pada awal babak separuh masa kedua dan Messi terlepas sepakan penalti, namun berjaya menebus kesalahan dengan menghadiahkan kemenangan.

Griezmann dan sepakan percuma Messi seakan mengesahkan kemenangan namun rembatan padu Carlos Soler dari jarak jauh pada minit ke-83 memaksa Barca untuk bertahan sehingga akhir perlawanan, kemenangan tersebut bermakna mereka mampu memintas kedudukan Atletico Madrid hujung minggu depan sekiranya pasukan Diego Simeone dikalahkan di Camp Nou.

Selepas minggu yang menggusarkan di mana Real Madrid terikat seri menentang Real Betis, manakala Atletico kalah kepada Athletic Bilbao sementara Barca ditundukkan oleh Granada pada Khamis, kedudukan kembali seperti sebelumnya pada hujung minggu ini, dengan kesemua pasukan tiga teratas mencatat kemenangan.

Sevilla kini enam mata di belakang Atletico dan perlu mengalahkan Athletic Bilbao hari ini untuk kekal berada dalam saingan menjelang pertemuan penentuan pada minggu depan untuk bertemu Real Madrid di gelanggang lawan. – AFP

Aksi Lionel Messi cuba melepaskan kawalan pemain Valencia semasa pertemuan di Mestalla, baru-baru ini.- AFP