MADRID, 15 Jan – Luis Suarez mencuri perhatian dengan dua jaringan dan satu bantuan kepada rakan ketika Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol seterusnya mencipta kemenangan 4-2 di Real Sociedad sebentar tadi dan mengembalikan kelebihan sembilan mata di persada La Liga.
Suarez meledak pada minit ke-50 dan 71, selepas membantu Paulinho mendapatkan jaringan enam minit sebelum rehat untuk memulakan kebangkitan selepas jaringan babak pertama Sociedad menerusi Willian Jose dan Juanmi.
Rembatan menakjubkan menerusi sepakan percuma Lionel Messi lima minit sebelum tamat melengkapkan kebangkitan itu yang memberikan skuad kendalian Ernesto Valverde 51 mata, jauh mengatasi pasukan tangga kedua Atletico Madrid, yang menang 1-0 mengatasi Eibar hasil jaringan Kevin Gameiro pada minit ke-27.
Kemenangan itu juga meletakkan Barca 19 mata di depan pencabar utama Real Madrid, yang berkedudukan keempat dan berdepan krisis selepas tewas 1-0 di laman sendiri kepada Villarreal, semalam.
Jurulatih Real, Zinedine Zidane sedikit lega ketika Sevilla terlepas peluang untuk menyamakan mata dalam pemburuan ke Liga Juara-Juara selepas tewas 1-0 berdepan Alaves.
Jaringan Manu Garcia pada minit ke-52 membawa keluar Alaves dari zon penyingkiran dan meletakkan Sevilla ke tangga keenam dengan 29 mata, tiga mata di belakang Real.
Sevilla meneruskan rentetan kekalahan buat skuad Vincenzo Montella dalam La Liga, dengan pengendali dari Itali itu membimbing kelab baharunya dengan dua kekalahan sejak menggantikan Eduardo Berizzo yang mengidap barah.
Sebelum ini mereka tewas 5-3 dalam saingan tetangga Seville kepada Betis. – AFP