Barcelona catat rekod baharu

MADRID, 15 April – Barcelona mencipta rekod baharu La Liga apabila meneruskan deretan tanpa kalah kepada 39 perlawanan hasil kemenangan 2-1 ke atas Valencia, semalam.

Luis Suarez dan Samuel Umtiti masing-masing menggegar gawang Valencia ketika Barca melepasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Real Sociedad (38) pada musim 1979 dan 1980. Gol tunggal Valencia dijaringkan Dani Parejo pada minit ke-87 menerusi penalti.

Kemenangan di Nou Camp, yang tampak cukup sukar diperoleh sedikit melegakan selepas Barca mengharungi kekecewaan di pentas Liga Juara-juara susulan kekalahan kepada AS Roma.

Skuad kendalian Ernesto Valverde kini memiliki kelebihan 14 mata di puncak liga diikuti oleh Atletico Madrid di tempat kedua dan Valencia kekal di tangga ketiga.

“Nilai tiga mata ini adalah hebat, ia adalah tiga mata emas,” kata Valverde.

Reaksi Luis Suarez meraikan jaringannya ketika menentang Valencia di Stadium Camp Nou. – AFP

“Kami mengharungi minggu yang sukar dan minggu yang sukar ini mengganggu semua orang, termasuk peminat.

“Kami jarang tewas tetapi perlawanan sebelum ini adalah penting dan kamu dapat merasai yang ramai orang yang kecewa. Kami mahu membalas kekecewaan itu kepada mereka.”

Selain La Liga, gergasi Catalan itu berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan dua gelaran domestik dengan menjuarai Piala Raja Sepanyol pada minggu depan.

Barca sepatutnya mengambil sedikit momentum mereka ketika beraksi di dalam liga yang menunjukkan aksi yang tidak terkalahkan sejak kali terakhir kalah di tangan Malaga lebih dari 12 bulan yang lalu.

Ini sudah menjadi rekod kelab, kini lapan perlawanan di hadapan daripada 31 perlawanan tanpa kalah semasa Pep Guardiola menjadi jurulatih Barca di musim 2010 dan 2011.

Ia kini kelihatan hanya aksi di gelanggang sendiri El Clasico menentang Real Madrid pada 6 Mei, dan mungkin perlawnana menentang Celta Vigo pada hari Selasa, menjadi halangan buat Barcelona menamatkan kempen liga musim ini tidak terkalahkan.

“Rekod ada untuk dipecahkan,” kata Suarez. “Orang ramai boleh hampa dengan Liga Juara-juara, seperti kami, tetapi ini adalah pengiktirafan musim hebat yang kami alami dalam liga, yang kini sepertinya dilupakan.” – AFP