BARCELONA, 20 April – Luis Enrique (gambar) menegaskan tugasannya pada musim terakhir bersama Barcelona masih boleh diakhiri dengan kejayaan biarpun tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Juventus dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.
Kelab dari Itali itu berjaya mengekalkan kelebihan hasil kemenangan 3-0 pada aksi pertama dengan mengikat Barcelona seri tanpa jaringan dalam aksi kedua di Nou Camp.
Neymar meninggalkan padang dengan linangan air mata tetapi hampir 100,000 penonton yang hadir tetap menghargai usaha yang ditunjukkan skuad The Catalan.
“Ia malam yang mengecewakan tetapi kami sudah mencuba sehingga minit terakhir dan ia dihargai oleh penyokong pada hujung perlawanan.
“Ini adalah pasukan yang tidak pernah berputus asa, berjuang untuk meraih setiap gelaran, tidak mudah selesa dan sentiasa menerima semua cabaran,” kata Enrique.
Barca akan berkunjung ke Santiago Bernabeu bagi pertemuan El Clasico Real Madrid, Ahad ini. – AFP