Barcelona kembali rapatkan kedudukan

MADRID, 9 JULAI – Barcelona mempertahankan harapan mereka untuk mengejar gelaran La Liga apabila berjaya menumpaskan Espanyol yang bergelut di zon penyingkiran pada perlawanan semalam melalui jaringan Luis Suarez.

Perlawanan di Camp Nou penuh dengan dramatik selepas enam minit perlawanan bermula pada separuh masa kedua apabila Ansu Fati dan Pol Lozano dilayangkan kad merah, meninggalkan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain sebelum Suarez menemukan jaringan.

Suarez berjaya menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan semalam melalui hantaran Antoine Griezmann.

Kemenangan 1-0 ini jauh dari kemenangan 4-1 mereka ketika menentang Villarreal pada perlawanan Ahad lalu tetapi ia berjaya merapatkan kembali kedudukan Barca dengan Real Madrid dengan hanya satu mata, yang mana Madrid akan menjadi tuan rumah menentang Alaves esok.

Espanyol, yang masih bergelut di dalam zon penyingkiran, akan tersingkir dari La Liga. Mereka jauh ketinggalan dengan 11 mata dengan hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi untuk dimainkan.

Barcelona memerlukan kemenangan dalam kesemua perlawanan untuk terus mendekati Madrid di puncak liga. – AFP

Aksi Luis Suarez ketika bersaing merebut bola dengan pemain pertahanan Espanyol, Leandro Cabrera semasa perlawanan La Liga antara Barcelona dan Espanyol di Stadium Camp Nou, Barcelona semalam. – AFP