Barcelona pantang menyerah kalah

MADRID, 24 JUN – Barcelona menang tipis 1-0 ketika menentang Athletic Bilbao pada perlawanan semalam yang membuat mereka kembali ke puncak La Liga dengan kelebihan tiga mata di depan Real Madrid.

Satu-satunya jaringan gol dari pemain gantian, Ivan Rakitic pada minit ke-71 setelah seri di separuh masa pertama telah menghalang Real mendahului kedudukan liga.

Madrid akan kembali ke puncak liga jika mereka berjaya menewaskan Real Mallorca pada perlawanan Rabu ini tetapi kemenangan Barcelona sekurang-kurangnya memberi tekanan kembali kepada pasukan Zinedine Zidane.

Barca memulakan perlawanan sedikit perlahan, tidak begitu banyak mencipta peluang, sedikit kekecewaan buat pengurus Barca, Quique Setien.

“Kami tahu perlawanan itu adalah sukar,” kata Setien. “Kerana itu ada beberapa kegelisahan, sedikit kebimbangan dan lebih takut akan melakukan kesilapan.

Aksi ​​Lionel Messi ketika mengawal bola semasa perlawanan La Liga antara FC Barcelona dan Athletic Club Bilbao di Stadium Camp Nou di Barcelona, semalam. – AFP

“Kadang-kadang kami tidak bermain dengan ketenangan dan itu dapat dilihat pada separuh masa pertama. Kami memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Athletic.”

Lionel Messi kelihatan sangat letih dengan penampilan bersama pasukannya semalam.
Pemain Argentina itu kembali beraksi dan menjadi pemain kesebelasan utama dan dia semakin dekat untuk meraih gol ke-700 dalam kariernya.

Rakitic mungkin antara segelintir pemain yang akan meninggalkan Barca pada musim panas ini. Dia jarang menjadi pemain utama dan ini adalah gol pertama buat Barca sejak perlawanan Clasico pada Mac tahun lalu.

“Ini adalah masa yang sukar tetapi kami harus tetap bersama,” kata Rakitic. “Itu adalah gol penting, itu adalah perlawanan yang sukar, sukar bagi kami untuk membuka permainan.”

Arthur Melo diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama, meskipun terdapat laporan dia hampir menyertai Juventus.

Sergio Busquets telah dilayangkan kad kuning dan akan digantung perlawanan menentang Celta Vigo Sabtu ini tetapi akan kembali ketika menentang Atletico Madrid dan Villarreal.

Athletic Bilbao berada di tangga ke-10 setelah mengalami kekalahan pertama sejak La Liga kembali. – AFP