Barcelona pecat Ronald Koeman

MADRID, 28 OKT – Ronald Koeman telah dipecat sebagai jurulatih Barcelona, selepas 14 bulan dibelenggu pelbagai masalah, umum kelab itu kelmarin selepas kekalahan 1-0 kepada Rayo Vallecano yang menyebabkan mereka berada di tangga kesembilan saingan La Liga.

Barca hanya menang dua daripada tujuh saingan terakhir liga di bawah kendalian Koeman, rentetan perlawanan yang menyaksikan mereka juga tewas kepada Real Madrid dalam aksi Clasico di Camp Nou, Ahad lalu.

Permulaan buruk pada musim ini menambah kemungkinan pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan sekali gus mendatangkan kesan besar terhadap situasi kewangan kelab yang sudah teruk.

Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez, yang kini mengendalikan kelab Qatar, Al Sadd serta pengendali River Plate, Marcel Gallardo dilaporkan antara calon untuk mengambil alih tugas itu.

Kenyataan kelab yang diumumkan selepas tengah malam di Sepanyol memaklumkan: “FC Barcelona memecat Ronald Koeman daripada jawatan jurulatih pasukan utama malam ini.

“Presiden kelab, Joan Laporta sudah memberitahunya selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal buat skuadnya Khamis ini di Ciudad Esportiva.

“FC Barcelona merakamkan penghargaan di atas khidmatnya dan mengucapkan selamat maju jaya dalam kariernya.” – AFP