BARCELONA, 19 Julai – Naib Presiden Barcelona Jordi Mestre kelmarin menegaskan bintang Brazil Neymar akan kekal di Sepanyol walaupun khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain bertiup kencang.
Ditanya semasa sidang akhbar jika beliau dapat mengesahkan Neymar akan kekal di Barca menjelang musim 2017-18, Mestre menjawab: “200 peratus”.
Laporan di Sepanyol telah mencadangkan PSG cuba memancing pemain berusia 25 tahun itu ke Parc des Princes selepas berjaya menyambar rakan sepasukan antarabangsanya Dani Alves secara percuma.
“PSG mahu memuktamadkan perpindahan Neymar musim panas ini,” tulis harian Catalan Sport sementara akhbar As yang berpangkalan di Madrid tampil dengan tajuk muka hadapan ‘Neymar tergoda dengan PSG’.
PSG dilaporkan cuba memanfaatkan keinginan Neymar untuk melangkah keluar daripada bayangan Lionel Messi, dengan kelab Perancis itu bersedia untuk membina pasukan bersama penyerang Brazil.
“Di sebalik kegusaran Neymar selalu ada kebimbangan berkaitan peranannya dalam pasukan dan keinginannya untuk menjadi pemimpin,” tulis Sport.
“Tetapi anda perlu sedar bahawa tidak ada jalan pintas kepada kepimpinan dan ia adalah sesuatu yang diperoleh perlahan-lahan, secara semulajadi dan progresif,” tambahnya.
Menurut Marca, PSG bersedia untuk membelanjakan 222 juta euro (AS$256.8 juta) yang diperlukan untuk klausa pelepasan Neymar dan akan menawarkan kepadanya kontrak selama lima tahun bernilai 30 juta euro setahun.
Bagaimanapun, laporan akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe kelmarin memetik sumber kelab PSG sebagai berkata: “Kami tidak akan mengulangi pertunjukan Neymar. Ada klausa pelepasan yang besar dan anda perlu realistik.”
PSG sebelum ini juga dikaitkan dengan Neymar tetapi penyerang berkenan telah pun menandatangani perjanjian baru lima tahun lagi bersama Barca Oktober lalu. – AFP