PEYRAGUDES, Perancis, 14 Julai – Romain Bardet dan Fabio Aru memastikan perebutan jersi kuning Tour de France terbuka luas semalam ketika Chris Froome menunjukkan petanda kelemahan pertamanya.
Bardet memenangi peringkat ke-12 sementara Aru, yang berada di kedudukan ketiga, merampas jersi pendahulu perlumbaan dari Froome.
“Ia adalah salah satu perkara terbaik yang berlaku sepanjang hayat untuk memakai jersi kuning dalam Tour de France,” kata Aru.
“Saya tidak dapat membayangkan ini akan berlaku. Ia adalah hari dan peringkat yang sukar.
“Saya gembira memakai jersi ini, ia jelas membalas budi semua rakan sepasukan saya yang telah banyak membantu saya dalam Jelajah ini, saya mendedikasikannya kepada mereka.”


Ia penyudah yang luar biasa di atas lapangan terbuka dengan 20 peratus cerun, Aru melakukan pecutan dalam beberapa ratus meter terakhir.
Froome cuba untuk memberikan respons tetapi tidak dapat memberikan saingan, namun Bardet berjaya melakukannya.
Penunggang dari Perancis itu mengatasi Aru dan memenangi dua saat dari Rigoberto Uran dari Colombia, yang menamatkan masa yang sama seperti Aru.
“Saya gembira untuk mengangkat tangan saya (dalam kemenangan), ia meringankan beban saya kerana saya belum melakukannya pada tahun ini. Saya memberikan segala-galanya,” kata Bardet.
Froome yang mempunyai pendahuluan sebanyak 18 saat ke atas Aru di awal perlumbaan, ketinggalan 22 saat di tangga ketujuh dan kehilangan jersi kuning.
“Ia adalah penyudah sukar. Saya tidak mempunyai tenaga lagi di saat akhir tetapi persaingan jauh dari tamat,” kata Froome dari Britain, pemenang Jelajah tiga kali dan juara bertahan.
“Saya hanya perlu memuji Romain Bardet kerana memenangi peringkat ini, ia adalah satu kemenangan hebat, dan juga kepada Fabio Aru kerana mendapatkan jersi.
“Saya memberikan segala-galanya yang termampu pada akhir perlumbaan tetapi saya tidak mempunyai tenaga untuk mengikutinya.” – AFP