Barry hentam Louisana

NEW ORLEANS, 12 JULAI – Ribut Tropika Barry menambah kekuatan hari ini ketika ia menuju ke New Orleans, yang bersedia menghadapi hujan lebat, ribut dan banjir yang menimbulkan ancaman yang sama dengan Hurikan Katrina pada 2005.

Sistem cuaca, yang telah pun mengakibatkan banjir besar di bandar yang terletak di kawasan rendah, dijangka mencecah kekuatan hurikan pada hari ini atau awal esok apabila ia mendekati pantai Louisiana, menurut Pusat Hurikan Nasional (NHC).

NHC mendapati kelajuan angin telah meningkat kepada 50 batu sejam, dengan angin lebih kencang, dan ribut akan membawa ‘banjir teruk’ ke kawasan pantai dan sungai.

Presiden Donald Trump malam tadi turut mengisytiharkan darurat persekutuan bagi Louisiana, memberi kebenaran kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan untuk menyelaraskan semua usaha bantuan bencana.

Dengan Barry berada 90 batu dari muara Sungai Mississippi, Gabernor John Bel Edwards turut mengisytiharkan keadaan darurat dan penduduk dua mukim di Louisiana, diseru supaya berpindah di beberapa lokasi.

Bahagian selatan sedang menghadapi apa yang dikatakan oleh Edwards sebagai ‘peristiwa hujan amat melampau’ yang menjejas ‘sebahagian besar’ Louisiana.

Ramai yang mematuhi arahan berpindah yang menjejaskan 10,000 orang, mengakibatkan kebanyakan lokasi senyap sunyi pada waktu petang. – AFP/AP

Reaksi Terrian Jones ketika merasakan sesuatu dalam air di kakinya ketika sedang mendukung Drew dan Chance Furlough ke rumah ibu mereka di Belfast Street, New Orleans semasa banjir akibat Ribut Tropika Barry yang menurunkan hujan lebat semalam. – AP