Bartomeu ditahan berhubung ‘Barcagate’

BARCELONA, 2 MAC – Bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu ditahan kelmarin sebagai sebahagian daripada siasatan polis berhubung isu ‘Barcagate’ tahun lalu, beritahu sumber dipercayai kepada AFP.

Bartomeu, meletak jawatan sebagai presiden pada Oktober, antara empat yang ditahan hanya enam hari menjelang pilihan raya presiden baharu kelab.

Ketua eksekutif Barcelona ketika ini, Oscar Grau, ketua perkhidmatan undang-undang, Roma Gomez Ponti dan penasihat Bartomeu, Jaume Masferrer turut ditahan oleh polis Catalan, yang menggeledah pejabat kelab pagi kelmarin.

Grau dan Gomez Ponti dibebaskan kelmarin tetapi Bartomeu dan Masferrer masih ditahan di balai polis Barcelona sebelum hadir di hadapan hakim hari ini, lapor media Sepanyol.

Polis Catalan, Mossos d’Esquadra, berkata dalam kenyataan penahanan dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai dakwaan jenayah berhubung harta dan urutan sosio-ekonomi ‘yang berlarutan selama hampir setahun’.

Barcelona mengeluarkan kenyataan mengesahkan operasi dikaitkan dengan kontroversi ‘Barcagate’ tahun lalu, apabila kelab dituduh menyembunyikan pembayaran dibuat oleh syarikat dikenali sebagai I3 Ventures, dilantik untuk meningkatkan imej presiden ketika itu – Bartomeu, di media sosial.

Sebahagian daripada kempen media sosial termasuk mengkritik pemain pada masa sekarang dan bekas pemain seperti Lionel Messi, Pep Guardiola dan Xavi Hernandez. Messi menyifatkan kontroversi sebagai ‘pelik’ dalam temu bual dengan akhbar Catalan, Mundi Deportivo. – AFP

Pihak polis Catalan menggeledah pejabat Barcelona baru-baru ini berhubung isu ‘Barcagate’. – AP