Barty impikan kejuaraan Wimbledon

SYDNEY, 13 OGOS – Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty tidak mempunyai peluang untuk mencapai impiannya untuk menjuarai Wimbledon tahun ini, tetapi dia tetap fokus untuk merebut gelaran juara di Kelab All-England.

Pemain Australia itu telah memenangi junior Wimbledon ketika berusia 15 tahun pada 2011, tetapi jangkaan yang datang bersama kejayaan memberikan kesan besar kepadanya dan dia membuat keputusan mengejut tiga tahun kemudian untuk meninggalkan tenis untuk bermain kriket.

“Ringkasnya, saya rasa saya perlu menyelami diri saya,” menurut Barty, yang tidak akan menyertai Terbuka AS disebabkan oleh kebimbangan mengenai koronavirus, semasa sesi temu bual hari ini dengan penyiar ABC mengenai keputusannya untuk berpindah ke pasukan kriket, Brisbane Heat.

“Saya rasa keliru dan barangkali hilang sedikit minat dalam bahagian pertama karier saya”.

Sementara itu, dia berkata sukan kriket telah memberikannya ‘pandangan berbeza mengenai sukan’, namun minat terhadap tenis tidak pernah hilang, dengan memasang cita-cita untuk merasai kemenangan sekali lagi di Wimbledon.

“Saya bercita-cita menjuarai Wimbledon. Tanpa diragui,” kata Barty, yang kembali bermain tenis pada 2016.

“Ia mengambil masa yang lama untuk saya mengatakannya. Ia mengambil masa lama untuk saya mengumpulkan semangat untuk menyatakannya tetapi itulah yang saya mahu. Ia adalah apa yang ingin saya usahakan.

“Menjadi juara junior Wimbledon adalah sesuatu yang sangat istimewa, tetapi ia memberikan saya perasaan yang sebenarnya.”

Dia berasa hampa dengan peluang tahun ini, dengan kejohanan telah dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua disebabkan oleh penularan koronavirus di seluruh dunia.

Pemain berusia 24 tahun ini pernah sekali memperoleh kejuaraan Grand Slam, memenangi Terbuka Perancis tahun lalu, yang membantu melonjakkan namanya di ranking teratas dunia.

Tetapi dia tidak ingat bagaimana dia berjaya memenangi Roland Garros, di mana dia menewaskan Marketa Vondrousiva dalam straight set pusingan final. – AFP