Barty jumpa Kvitova di separuh akhir

MADRID, 4 MEI – Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty berjaya menewaskan lawan yang juga juara Terbuka Perancis kelmarin ketika dia menundukkan pemain Poland, Iga Swiatek untuk mara ke pusingan suku akhir Terbuka Madrid.

Barty berjaya mencatat kejayaan di Roland Garros pada 2019 sebelum Swiatek sekali lagi membuat kejutan dengan merangkul kejuaraan utama pertama di Paris setahun kemudian.

“Saya menikmati perlawanan malam ini, saya gemarkan cabaran,” kata Barty.

“Perlawanan menentang Iga adalah luar biasa. Ia sangat-sangat mengagumkan.

“Saya suka menguji diri saya sendiri dan cuba mencari cara untuk menang malam ini dan cabaran yang dihasilkannya buat saya.”

Pemain kelahiran Australia itu kini akan berdepan juara Madrid tiga kali, Petra Kvitova untuk merebut tempat di pusingan separuh akhir, selepas Kvitova menewaskan pesaing dari Rusia, Veronika Kudermetova 6-3, 4-6, 6-4.

Aksi Ashleigh Barty semasa bertemu Iga Swiatek di Terbuka Madrid.- AFP

Kekalahan Swiatek tersebut telah menamatkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah di gelanggang tanah liat sementara Barty melanjutkan siri kemenangan kepada 14 perlawanan di permukaan tersebut.

Perlawanan tersebut tidak mudah, dengan Barty terpaksa bangkit dari ketinggalan 3-0 dalam set pertama dan kembali bangkit dari ketinggalan 0-40 di 3-2 dalam set kedua, sebelum melengkapkan kemenangan dalam masa satu jam 41 minit.

Kvitova, yang menjuarai kejohanan pada 2011, 2015 dan 2018, juga didesak hebat oleh Kudermetova, pemain yang berada di prestasi terbaik semasa jelajah, memenangi kejuaraan WTA pertama di Charleston bulan lalu.

Tetapi Kvitova menggunakan seluruh pengalaman yang ada dan melakukan servis cemerlang untuk kekal dalam perlawanan dan melanjutkan rekod kejuaraan Madrid keempat.

“Semestinya perlawanan yang sukar,” kata Kvitova selepas perlawanan. “Ia mengenai pukulan servis yang banyak.

Hanya dipatahkan sekali dalam setiap set.

“Saya lega saya berjaya mengawalnya dari segi mental.Veronika beraksi dengan sangat baik.

“Sejak memenangi kejohanan di Charleston, dia bermain dengan sangat hebat.

“Dia akan menjadi juara hebat,” tambahnya. – AFP