MELBOURNE, 19 JULAI – Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Ashleigh Barty, melenyapkan harapan peminat untuk kembali ke sukan profesional, selepas terdapat spekulasi mengatakan pemain Australia itu mungkin beralih kepada golf.
Pemenang Grand Slam tiga kali berusia 25 tahun itu mengejutkan dunia sukan dengan persaraannya pada Mac lalu iaitu hanya beberapa minggu selepas menjadi juara Terbuka Australia di tempat sendiri buat kali pertama dalam tempoh 44 tahun.
Barty masih belum mengetahui langkah yang patut diambilnya seterusnya, namun dia merupakan seorang pemain golf yang hebat dengan memenangi gelaran wanita Kelab Golf Brookwater berhampiran Brisbane pada 2020 dan bermain dalam pameran Siri Ikon di Amerika Syarikat pada April.
Terdapat beberapa spekulasi bahawa pemain Australia berbakat besar itu, yang juga pemain kriket profesional, boleh beralih dalam sukan golf.
Dalam temu bual di radio Melbourne kelmarin, dia menafikan khabar angin tersebut dan menolak bermain sebarang bentuk sukan profesional lagi.
“Awda semua hanya tidak boleh menerima hakikat bahawa saya tidak mahu bermain sukan profesional lagi,” kata Barty.
“Saya suka golf. Ia sekadar hobi saya. Ia bukan kerjaya saya dan saya tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai karier.
“Setakat ini, tiada keinginan untuk saya bermain dalam sukan profesional, terutamanya golf,” jelasnya.
Lewat tahun lalu Barty telah melangsungkan pertunangan dengan Garry Kissick dan sejak persaraannya dia telah mengeluarkan satu siri buku kanak-kanak berjudul Little Ash. – AFP