Barty tarik diri dari Terbuka Perancis

SYDNEY, 8 SEPT – Pemain tenis nombor satu dunia, Ashleigh Barty dari Australia, tidak akan menyertai Terbuka Perancis akhir bulan ini kerana risiko COVID-19 dan kurang persediaan, lapor agensi berita Xinhua.

“Ini keputusan yang sukar dibuat tetapi sayangnya saya tidak akan bertanding di Eropah tahun ini,” kata Barty dalam satu kenyataan di media sosial pada hari ini.

“Terbuka Perancis tahun lalu adalah kejohanan paling istimewa dalam karier saya, jadi ini bukanlah keputusan yang mudah buat saya.”

Barty berkata terdapat dua faktor yang menyebabkan beliau memutuskan untuk melepaskan  kejohanan itu, yang dijadualkan berlangsung di Paris dari 27 September hingga 1 Oktober.

“Pertama adalah risiko kesihatan yang masih ada akibat COVID-19. Kedua adalah persiapan saya, yang tidak ideal tanpa latihan bersama jurulatih saya disebabkan penutupan sempadan negara di Australia.”

Barty mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain dan Persekutuan Perancis untuk kejohanan tersebut dan mengatakan beliau kini sedang menantikan pramusim yang panjang dan musim panas di Australia.

“Ini merupakan tahun yang mencabar bagi semua orang dan walaupun saya terkilan, dalam tenis, kesihatan dan kesejahteraan keluarga dan pasukan saya sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – Bernama

Ash Barty semasa menjulang trofi selepas memenangi perlawanan final kejohanan tenis wanita Terbuka Perancis di stadium Roland Garros di Paris pada 8 Jun 2019. – SP