Baru fasa pertama sudah sesak sana sini

Saya merasa kecewa dengan orang ramai di negara ini. Memang baru-baru ini, kerajaan telah melonggarkan langkah-langkah penjarakan sosial ketika ini secara berperingkat.

Pada ketika ini kelonggaran berada di fasa pertama di mana restoran, gerai, pasar, pusat kecergasan dibukakan dengan syarat-syarat tertentu.

Namun, kerajaan melonggarkan langkah-langkah ini bukan bererti kita dibenarkan bebas ke sana sini sehinggakan berlakunya kesesakan jalan raya dan malah memenuhi pusat membeli-belah semata-mata adanya aplikasi yang memudahkan untuk mengesan siapa yang berpotensi ada jangkitan sebagai jaminan. Sehinggakan ada yang mahu mengadakan sambutan Hari Raya dengan kunjung-mengunjungi dengan menyamakannya seperti pembukaan restoran yang mengehadkan orang yang memasuki ke dalam kedai.

Sedarlah sesetengah orang ramai, kita masih berada dalam ancaman virus, kita tidak tahu dan tidak sedar dengan musuh yang tidak terlihat ini menjangkiti kita atau orang di sekeliling kita. Ini baru fasa pertama, bila nanti memasuki fasa kedua apa akan terjadi dengan kepentingan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri.

Memang sudah agak lama kita menanti untuk berpeluang makan di restoran atau keluar membeli-belah, tapi kita harus ingat virus ini tidak akan mudah hilang begitu saja walau setakat ini negara kita mencatatkan angka sifar bagi jangkitan.

Justeru, cara yang terbaik untuk menghindar dari merebaknya lagi jangkitan ini, berpada-pada atau bak cakap orang kita ‘ubaya-ubaya’ untuk pergi ke sana sini. Jagalah diri sendiri dan keluarga anda serta orang di sekitar anda. Janganlah seperti ayam direban, baru dibuka reban habis berebut-rebut untuk keluar.

Kita jaga negara kita