Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bas autonomi 5G bakal dipamer tahun depan

    PUTRAJAYA, 9 SEPT – Penggunaan 5G dalam inisiatif bas autonomi adalah sebahagian daripada 40 kes penggunaan 5G yang akan dipamerkan semasa Malaysia mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

    Beliau berkata bas autonomi yang dipamerkan hari ini adalah hasil kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB), penyedia rangkaian 5G negara, syarikat teknologi Ericsson dan pemaju penyelesaian kenderaan autonomi tempatan, eMooVit Technology Sdn Bhd.

    “Integrasi aplikasi 5G dalam kenderaan awam autonomi seperti yang ditunjukkan hari ini akan meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk pengguna, membolehkan mereka berasa lebih selamat dan kekal berhubung dengan lebih baik.

    “Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara digital, teknologi digital seperti 5G boleh meningkatkan perkhidmatan awam, perniagaan serta komuniti dengan ketara,” katanya pada sidang media selepas demonstrasi itu, hari ini.

    Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan ketua pegawai eksekutif eMooVit, Dr Hairi Zamzuri.

    Gobind berkata kolaborasi yang dilaksanakan selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DNB, Ericsson dan eMooVit pada Mei 2024 itu, menyiapkan tempoh percubaan yang merangkumi perjalanan sejauh 1,000 kilometer (km).

    Ia melibatkan percubaan bukti konsep bagi kes penggunaan 5G seperti sambungan wi-fi awam 5G dalam kenderaan, pemantauan kenderaan jauh tepat masa dan pengumpulan log perjalanan serta menyelesaikan ujian sejauh 1,000km.

    “Apabila dikomersialkan kes penggunaan ini, yang termasuk televisyen litar dalam kenderaan (CCTV) dan pemantauan data telemetri tepat masa, ia akan menjadikan perjalanan bas autonomi ini lebih selamat dan lebih dipercayai bagi penumpang, di samping membantu meningkatkan kecekapan kos untuk pengusaha bas,” katanya. – Bernama

    Bas elektrik autonomi dipertingkatkan dengan 5G menjalankan pandu uji yang turut disertai Gobind dan Loke di Futurise Centre, Persiaran APEC pada 9 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda