Bas hanyut ragut lebih 20 nyawa

NAIROBI, 5 DIS – Lebih 20 orang lemas apabila bas yang mereka naiki untuk ke majlis perkahwinan, dihanyutkan arus deras ketika kenderaan itu cuba menyeberang Sungai Enziu yang mengalami peningkatan air mendadak.

Saksi menjerit apabila bas sekolah kuning disewa khas membawa penyanyi koir ke majlis perkahwinan di Kitui itu terbalik dan karam apabila pemandunya cuba mengharungi arus deras sungai.

Beberapa penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri apabila bas itu tenggelam yang turut dibantu saksi kejadian.

Gabenor Kitui, Charity Ngilu menyifatkan kemalangan itu sebagai ‘dahsyat’ kerana membabitkan jumlah kematian yang tinggi.

“Mayat yang ditemui ketika ini melebihi 23 orang. Ada banyak lagi mayat dalam bas itu,” katanya yang turut mengesahkan 12 orang diselamatkan termasuk empat kanak-kanak.

Ketika ini masih belum jelas jumlah penumpang yang terdapat dalam bas yang karam dalam Sungai Enziu itu.

Saksi berkata pemandu bas dilihat berhenti sebelum arus deras melanda dan apabila melintasi sungai itu, bas berkenaan terus dihanyutkan arus.

Timbalan Presiden, William Ruto antara pemimpin menzahirkan ucapan takziah dan menasihati pengguna jalan raya berhati-hati ketika Kenya kini berdepan cuaca hujan lebat. – AFP