Bas meletup ragut 2 nyawa, 19 cedera di Rusia

MOSCOW, 13 OGOS – Dua wanita terbunuh berikutan letupan sebuah bas di barat Rusia yang turut menyebabkan 19 orang lagi cedera, kata pihak berkuasa tempatan hari ini.

Letupan itu berlaku semalam ketika bas yang membawa 35 penumpang berada di perhentian bas berhampiran pusat membeli-belah.

“Jumlah yang cedera telah meningkat kepada 19 orang,” kata gabenor wilayah Voronezh Alexander Gusev hari ini di saluran Telegramnya.

Seorang wanita mati sejurus selepas letupan dan seorang lagi meninggal di hospital hari ini, menurut Gusev.

Beberapa yang cedera masih dalam keadaan serius, kata gabenor.

Video yang diambil oleh orang yang melintas dan disiarkan di media sosial menunjukkan bahawa letupan itu memusnahkan bumbung kenderaan dan meletupkan tingkapnya.

Cawangan Voronezh dari Jawatankuasa Penyiasat, yang menyiasat jenayah besar, mengatakan bahawa pihaknya telah membuka kes kecuaian menjaga bas. – AFP