Bas pandu sendiri diuji di Estonia

TALLINN, 19 JUN – Dua jenis bas pandu sendiri sedang diuji di Estonia pada minggu ini sebagai sebahagian daripada inisiatif yang mungkin merevolusikan pengangkutan awam di Eropah.

Salah satu perkhidmatan di Estonia, yang sering digunakan sebagai dasar ujian untuk inovasi, menawarkan perjalanan percuma di sekitar taman di ibu negara Tallinn.

Perkhidmatan lain adalah sebahagian projek biayaan EU dan membawa orang di sekitar bandar Ulemiste, kampus perniagaan berhampiran lapangan terbang utama bandar.

Digelar ‘e-stonia’, negara anggota EU yang mempunyai 1.3 juta penduduk itu terkenal kerana menjadi perintis dalam teknologi, dengan warga Estonia telah pun membantu pelopor seperti Skype, Transferwise, e-undi dan robot penghantaran.

Projek pertama adalah inisiatif bersama yang sedang dikendali oleh pihak berkuasa bandar Tallinn, Universiti Teknologi Tallinn dan syarikat Perancis Navya.

Andreo Novikov, penolong datuk bandar Tallinn, berkata dalam satu kenyataan beliau berharap ia boleh membawa kepada ‘pengangkutan awam yang lebih mesraekologi dan lebih pintar.’ – AFP

Gambar pada 16 Jun 2020 menunjukkan bas pandu sendiri diuji di jalan pelancong di Tallin, Estonia. – AFP