BANGKOK, 18 Feb – Seorang pemandu warga Thailand terbunuh dan 17 pelancong warga China yang lain cedera dalam kejadian kemalangan bas persiaran di selatan wilayah Thailand, Phang Nga, menurut konsulat jeneral China di Songkhla.
Menurut media Thailand, bas yang membawa 35 pelancong dari China dari hotel di wilayah Krabi menuju ke pelabuhan di Phang Nga melanggar tiang pada awal pagi Jumaat.
Konsulat jeneral China di Songkhla berkata, bahawa sembilan daripada 17 penumpang yang cedera telah dimasukkan ke hospital. Antara mereka, tiga orang mengalami cedera parah termasuk dua orang kanak-kanak.
Lapan pelancong yang mengalami cedera ringan masih di bawah pemerhatian di hospital. Seramai 18 pelancong yang lain dibenarkan untuk pulang ke hotel masing-masing.
Tambahan lagi, para doktor telah menjalankan pembedahan terhadap dua kanak-kanak yang mengalami cedera parah, manakala yang lain akan menerima pembedahan selepas konsultasi selanjutnya.
Menurut konsulat jeneral China, tidak ada penumpang yang dalam keadaan kritikal.
Selepas kemalangan tersebut, naib jeneral konsulat di Pejabat Konsular China di Songkhla, Ma Cuihong telah melawat mangsa-mangsa cedera yang dirawat di hospital.
Siasatan awal mendapati bahawa kemalangan tersebut disebabkan oleh pemandu mengalami keletihan.
Kedutaan China di Thailand telah meminta Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand serta Polis Pelancong untuk menjalankan siasatan ke atas kes tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan itu berulang lagi.
Gabenor di Wilayah Phuket telah melawat mangsa di hospital sementara Pusat Penyelamat dan Polis Pelancong menawarkan bantuan.
Menurut kedutaan China, mereka akan mengikuti perkembangan kes itu dan membantu pelancong-pelancong yang cedera. – Xinhua