Bas sekolah percuma Sarawak terima sambutan menggalakkan

KUCHING, 4 SEPT – Pelaksanaan perkhidmatan bas sekolah percuma di sini menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar dan juga ibu bapa, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata perkhidmatan itu yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 Julai lepas, merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat dan bukan sekadar kenyataan retorik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementeriannya dan juga Yayasan Sarawak selaku rakan kongsi program, memantau rapat perkhidmatan itu selain mengumpulkan data jumlah penumpang yang akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan. – Bernama