Bas terbabas ragut 13 nyawa

HANOI, 26 JULAI – Sebuah bas yang membawa bekas pelajar sebuah sekolah menengah di negara ini yang sedang dalam perjalanan menuju ke wilayah Quang Binh tengah terbabas dan terbalik di selekoh di sebuah lebuh raya, mengakibatkan belasan penumpang terkorban.

Hampir 40 penumpang adalah rakan sekelas dari Sekolah Tinggi Dong Hoi dan sedang dalam perjalanan lawatan ke kawasan di wilayah Quang Binh tengah untuk ulang tahun ke-30 mereka menamatkan pengajian.

Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan tersebut, pemandu bas tersebut hilang kawalan pada selekoh tajam di lebuh raya, kata media negara itu.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, dan kebanyakannya mengalami kecederaan.

“Individu yang berada di dalam bas tersebut berkata apabila bas tersebut mula melewati selekoh tajam di lebuh raya itu, terdapat tanda amaran kerosakan pada bahagian brek kenderaan, akhbar Tuoi Tre melaporkan.

Gambar yang dikongsi di laman web berita menunjukkan sebuah bas terbabas di tepi jalan selekoh di lebuh raya, dengan orang ramai melihat anggota penyelamat melakukan tugasan mereka untuk mengeluarkan mangsa dari bas berkenaan.

Perjalanan di lebuh raya Vietnam boleh menjadi perkara yang berbahaya, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengatakan bahawa kecederaan kemalangan jalan raya adalah penyebab utama kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

Setakat ini, negara itu telah mencatatkan lebih daripada 3,200 kematian dalam enam bulan pertama tahun ini. – AFP

Gambar yang diambil dan dikeluarkan oleh Agensi Berita Vietnam menunjukkan rangka sebuah bas yang terbabas ketika membawa penumpang yang terdiri daripada pelajar dalam perjalanan ke wilayah Quang Binh tengah. – AFP