Basar umpannya, basar ulihnya?

Oleh Raz AS

Basar umpannya, basar ulihnya. Ungkapan yang sering kita dengar dan menjadi pegangan hidup kebanyakan kaki pancing. Secara logik akal memang benar ungkapan tersebut.

Bak kata pepatah pemancing di barat, match the hatch, atau dalam Bahasa Melayunya yang bermaksud sesuaikan umpan berdasarkan makanan alami spesies yang diburu. Jika memburu ikan besar guna umpan yang besar atau jika menggunakan umpan yang bersaiz besar pasti ikan yang diperoleh juga akan bersaiz besar. Mungkin kerana ikan-ikan kecil tidak berselera atau tidak berani menelan umpan yang besar kerana mulut yang kecil atau mungkin saja takut kebangkalan kata orang kitani.

Contoh saja kalau menggunakan umpan ikan kembura yang panjangnya satu jengkal, ikan-ikan sebesar tapak tangan mungkin tidak akan begitu bernafsu melihatnya kerana makanan haiwan itu selalunya terdiri daripada anak-anak ikan atau krustasea yang kecil-kecil.

Namun tidak mustahil ada juga yang besar hawa, pernah juga semasa penulis turun mengasting, anak ikan kerapu tidak segan silu menyambar lure Yo-Zuri Crystal Minnow yang mempunyai saiz lebih panjang daripada badannya. Begitu juga dengan spesies pengacau seperti ikan buntal, guna umpan ikan atau udang besar pun pasti habis ‘dikerjakannya’.

Terdapat teori yang penulis pernah terbaca semasa membelak-belak majalah memancing satu ketika dahulu, mengatakan bahawa ikan yang bersaiz besar ini pemalas sedikit.

Yang pastinya, umpan kecil tidak bermakna ikan yang memakannya semuanya kecil-kecil. – Agensi
Ada kalanya ketika memancing kita perlu untuk memikirkan penyesuaian sama ada dari segi umpan, mata kail, lure atau perambut untuk menarik perhatian ikan. – Agensi

Ia tidak rajin mengejar mangsa kecil kerana habuannya tidak setimpal dengan tenaga yang dikerah. Sejauh mana kebenarannya, Wallahualam.

Yang pastinya, umpan kecil tidak bermakna ikan yang memakannya semuanya kecil-kecil walaupun sebahagian besar hasil tangkapan kita berkemungkinan akan bersaiz kecil. Kalau menggunakan umpan udang hidup besar kelingking, tangkapan sebesar telapak tangan itu cerita biasa, namun silap-silap hari bulan bergegar kepala lutut kita menahan asakan ikan bersaiz idaman yang tidak disangka-sangka berliur menyambarnya.

Hal seperti ini tentu sahaja sering kali terjadi kepada kaki-kaki pancing di luar sana, terutama di kalangan pemancing ultralight. Kawan penulis sendiri pernah menundukkan ikan selungsung seberat 5 kilogram, meski umpan yang digunakan hanya udang hidup tidak sampai besar kelingking ketika turun memancing menggunakan bot di perairan Pelabuhan Muara.

Jika bukan penulis melihatnya dengan mata kepala sendiri mungkin susah sedikit hendak percaya kerana saiz umpan dan mata kail yang digunakan itu terlalu kecil. Tapi kalau sudah rezeki pasti tidak kemana.

Namun tidak dinafikan, ada kalanya ketika memancing kita perlu untuk downsizing sama ada dari segi umpan, mata kail, lure atau perambut untuk menarik perhatian ikan. Contohnya di kawasan perairan yang menerima tekanan tinggi daripada aktiviti memancing atau ikan tidak berminat atau waswas untuk menyambar umpan yang dilabuh meskipun kita tahu terdapat ikan besar di kawasan tersebut.

Kalau sudah ikan cerewet kita perlulah bijak beradaptasi dengan keadaan. Dengan downsizing umpan, lure dan mata kail akan meningkatkan peluang kita untuk memperoleh ikan kerana ia akan meluaskan lagi skop sasaran.

Ini bermakna umpan atau lure yang kita persembahkan akan menarik perhatian ikan daripada saiz kecil hinggalah yang besar. Ikan pun kurang takut kerana tidak terlihat mata kail kecil yang tersembunyi dan perambut nipis.

Walau bagaimanapun, jika anda memang berhasrat untuk memperoleh ikan besar jangan terus-terus sahaja menggunakan umpan atau lure kecil kerana percaya ikan tentu sahaja akan makan umpan kalau sudah lapar.

Sebaik-baiknya gunakanlah umpan atau lure besar terlebih dahulu untuk beberapa ketika jika tiada sambutan barulah downsize umpan, lure, perambut atau mata kail sedikit demi sedikit, siapa tahu ikan yang diidam-idamkan akhirnya terbuka pintu hati untuk memamah umpan.

Jika tidak pun sekurang-kurangnya masa anda memancing tidak begitu sunyi dengan melayan ikan-ikan bersaiz kecil.