BASBA sahut cabaran Terbuka Thailand

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Majlis penyerahan bendera dan tajaan kepada Kontinjen Pasukan Brunei Amateur Softball and Baseball Assosiation (BASBA) yang menyertai Thailand Softball Open 2019 telah diadakan di Pejabat At Taqwa Travel Agency, Tungku Link, Gadong.

Penyerahan bendera negara telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohammad Jaafar bin Haji Abdul Aziz.

Kontinjen negara yang diketuai oleh Naib Presiden BASBA, Mejar (B) Wan Haji Mohd Tambrin bin Haji Suhaili menggalas cabaran bersama dua kumpulan iaitu kumpulan lelaki dan wanita serta bakal bersaing bersama peserta dari Filipina, Malaysia, Thailand dan Indonesia dalam cabaran yang dijangka bermula dari 25 hingga 28 Julai ini di Thailand.

Mejar (B) Wan Haji Mohd Tambrin dalam ucapannya menjelaskan, penyertaan terakhir negara pada tahun 2015 ialah di South East Asia Cup di Malaysia dan tahun ini negara menghantar pasukan ke pertandingan bertahap ASEAN.

Beliau menambah, pelbagai persiapan telah dijalankan sejak Januari bagi mempersiapkan para peserta untuk Sukan SEA yang akan diadakan di Filipina nanti.

“Penyertaan kali ini dapat dijadikan sebagai penanda aras dan seterusnya menjadi pembakar semangat para peserta untuk mempromosikan sukan bola lisut di negara ini,” jelas beliau.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan pihak penaja atas sokongan yang diberikan untuk memajukan sukan di negara ini.

Kontinjen negara bergambar ramai bersama tetamu kehormat sempena majlis penyerahan bendera negara, kelmarin.