JACKSONVILLE, 11 MEI – Seekor harimau Malayan berusia 13 tahun bernama Bashir sedang menyesuaikan dirinya dalam persekitaran baharu selepas tiba di Zoo dan Taman Jacksonville sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan spesies, kata pegawai.
“Bashir sedang menyesuaikan diri di tempat baharu,” kata Tirzah Nichols, penjaga haiwan mamalia di zoo, dalam satu siaran akhbar. “Kami memberikan tumpuan kepada tahap keselesaannya di tempat baharu, memantau perkembangannya dan hanya memperkenalkannya ke kawasan baharu apabila ia sudah bersedia.”
Kakitangan zoo telah membantu harimau itu menyesuaikan diri dalam habitat baharu itu. Mereka berkata Bashir ‘berasa tenang, tetapi mempunyai ciri-ciri karisma dan ekspresif.” Membantu harimau menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu boleh menjadi satu proses lama, menurut Sheryl Staaden, penolong kurator haiwan di zoo itu.
“Harimau adalah haiwan bersifat suka sendirian, maka ia hanya akan bersama untuk waktu seketika untuk pembiakan. Masa pengenalan adalah penting dengan pelbagai peringkat berlainan dalam proses dicapai sebelum pengenalan sebenar. Program pemulihan spesies itu mengambil kira genetik untuk menghasilkan pasangan terbaik demi memastikan spesies terancam berkenaan dapat hidup,” katanya.
Bashir disarankan dibiak di zoo berkenaan bersama seekor harimau betina Malayan bernama Cinta. Untuk sekarang, harimau itu boleh dilihat di pameran Harimau di zoo itu. – AP