Basmalah dan hukum hakam mengenainya

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI DUA

5. Membaca Basmalah ketika hendak menyembelih

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, sunat membaca Basmalah ketika hendak menyembelih binatang korban, aqiqah dan sebagainya dengan lafaz Bismillah dan makruh hukumnya jika senghaja meninggalkannya. Bagaimanapun, jika tidak dibaca Basmalah sama ada secara disenghajakan ataupun tidak, sembelihannya itu tetap sah dan halal dimakan. Bagaimanapun, sangat penting membaca Basmalah ketika hendak menyembelih itu supaya orang-orang mazhab Hanafi dapat makan daging sembelihan tersebut kerana menurut mazhab mereka Basmalah itu adalah wajib.

6. Membaca Basmalah ketika hendak memburu

Ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat bahawa sunat membaca Basmalah ketika memburu binatang (yang halal dimakan) dan makruh hukumnya jika senghaja meninggalkannya.

Adapun sekurang-kurang lafaz Basmalah ketika memburu binatang itu ialah Bismillah dan lengkapnya ialah Bismillahirrahmanirrahim.

Caranya ialah dengan membaca Basmalah ketika mengutus binatang pemburu seperti anjing dan sebagainya atau ketika melepaskan atau melontarkan alat memburu seperti anak panah dan yang seumpamanya.

Sepertimana yang telah disebutkan tadi, bahawa makruh hukumnya jika senghaja meninggalkan Basmalah sewaktu memburu ini.

Bagaimanapun, jika tidak juga dibaca Basmalah, binatang buruannya itu tetap sah dan halal dimakan walaupun ianya senghaja ditinggalkan dan dia tidak pula berdosa kerana meninggalkan Basmalah itu.

Sunat hukumnya memulakan dengan membaca Basmalah pada perkara-perkara seperti ketika hendak masuk atau keluar daripada masjid. – Gambar fail Muiz Matdani
Harus membaca Basmalah ketika hendak melakukan perkara-perkara yang harus yang tidak ada apa-apa kepentingan atau kemuliaan padanya seperti ketika hendak memindah barang dari satu tempat ke tempat yang lain dan yang seumpamanya. – Gambar hiasan

7. Membaca Basmalah ketika hendak makan dan minum

Para fuqaha berpendapat bahawa sunat membaca Basmalah pada permulaan makan dan minum. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah r.a., bahawasanya Rasulullah telah bersabda kepadanya yang maksudnya:

“Sebutlah nama Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu”.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika orang itu meninggalkan Basmalah pada permulaan makan dan minum, sama ada kerana senghaja, atau terlupa, atau suatu halangan dan sebagainya, maka sunat membaca Basmalah sesudah teringat semula untuk membacanya pada pertengahan makan dan minum atau pada bila-bila masa dalam waktu makan dan minumnya itu dengan lafaz Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu.

Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmidzi daripada ‘Aisyah r.a., bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:

“Apabila seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia menyebut nama Allah (membaca Basmalah), dan sekiranya dia terlupa untuk menyebut nama Allah (membaca Basmalah) pada permulaannya (makan), maka hendaklah dia mengatakan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu” (Dengan nama Allah pada awal serta akhirnya)”.

(Hadis riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Dalam perkara ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah ada menyebutkan dalam kitabnya al-Azkar, para ulama berpendapat bahawa sunat menjahrkan atau menyaringkan bacaan Basmalah ketika hendak makan dengan tujuan mengingatkan orang lain yang turut sama makan bersamanya atau makan berhampiran dengannya supaya turut sama membacanya sekiranya mereka terlupa, terlalai atau sebagainya.
Sekiranya orang itu tidak juga membaca Basmalah sehingga selesai makan, maka menurut pendapat yang zahir sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj, disunatkan juga baginya untuk membaca Basmalah.

8. Membaca Basmalah ketika hendak mengerjakan perkara yang mulia dan berkepentingan

Kebanyakan para fuqaha menyatakan bahawa Basmalah itu disunatkan pada perkara-perkara yang mulia dan berkepentingan (bukan yang hina, jijik atau remeh temeh), tidak kira sama ada ianya adalah perkara-perkara ibadah mahupun perkara-perkara rutin kebiasaan harian yang tidak bertentangan dengan syarak.

Maka dari itu, sunat hukumnya memulakan dengan membaca Basmalah pada perkara-perkara seperti ketika hendak membaca al-Qur’an, ketika hendak menaiki kenderaan atau binatang tunggangan, ketika hendak memasuki rumah, ketika hendak masuk atau keluar daripada masjid, ketika hendak bersetubuh dengan suami atau isteri, ketika hendak menaiki mimbar, ketika hendak tidur dan sebagainya.

Jika terlupa untuk membaca Basmalah atau senghaja meninggalkannya maka ia tidaklah menjadi kesalahan, akan tetapi membacanya itu adalah lebih baik dan dikurniakan pahala.

Perkara-perkara yang harus padanya membaca Basmalah

Harus membaca Basmalah ketika hendak melakukan perkara-perkara yang harus yang tidak ada apa-apa kepentingan atau kemuliaan padanya seperti ketika hendak memindah barang dari satu tempat ke tempat yang lain dan yang seumpamanya.

Perkara-perkara yang dilarang padanya membaca Basmalah

Walaupun pada dasarnya Basmalah itu disyariatkan untuk dibaca pada kebanyakan perbuatan serta pekerjaan rutin harian kita, namun ada keadaan dan perkara membaca Basmalah ditegah padanya.

Menurut ulama, Basmalah ditegah dan tidak disyariatkan untuk dibaca ketika hendak melakukan perkara-perkara haram seperti mencuri atau berzina, begitu juga perkara-perkara makruh seperti ketika hendak melihat kemaluan suami atau isteri. Bahkan Basmalah turut sama ditegah ketika hendak melakukan perkara-perkara yang hina dan jijik. Ini semata-mata kerana menjaga kesucian dan ketinggian nama-nama Allah daripada dikaitkan atau dilibatkan dengan apa jua bentuk kehinaan serta perkara yang tidak bersesuaian dengan kemuliaan serta keagungan nama-namaNya.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai Basmalah dan hukum-hakamnya. Sesuatu perbuatan yang tidak dimulai dengan Basmalah dianggap satu perbuatan yang terdapat kekurangan padanya kerana kurangnya berkat pada perbuatan tersebut. Ia juga sekaligus membukakan jalan bagi syaitan untuk memainkan peranan jahatnya untuk mengganggu, merosak dan menyesatkan manusia.

Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah berkata: “Kurang berkat (kerana meninggalkan Basmalah) dalam penulisan (kitab atau karya ilmiah) menjadikan pembaca kurang mendapat manfaat yang banyak daripada kitab atau karya ilmiah itu serta kurang pahala yang diperolehi oleh pengarangnya.

“Kurang berkat (kerana meninggalkan Basmalah) ketika hendak makan menjadikan tubuh badan kurang mendapat manfaat (khasiat dan kebaikan) daripada makanan tersebut. Kurang berkat (kerana meninggalkan Basmalah) ketika hendak membaca menjadikan dia kurang beroleh hasil atau manfaat daripada pembacaannya”.

Bagaimanapun, sepertimana yang telah dijelaskan tadi, tidak semua perkara itu disyariatkan untuk dibaca Basmalah padanya. Secara ringkasnya, Basmalah itu terdapat padanya lima keadaan hukum:

Wajib, seperti membacanya ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang.

Sunat, seperti membacanya ketika hendak makan, berwudhu dan sebagainya.

Haram, seperti membacanya ketika hendak melakukan perkara-perkara haram dan maksiat seperti mencuri.

Makruh, seperti membacanya ketika hendak melakukan perkara-perkara makruh seperti melihat kemaluan isteri atau suami serta ketika hendak melakukan perkara-perkara yang hina dan jijik.

Harus, seperti membacanya ketika hendak melakukan perkara-perkara yang harus yang tiada apa-apa kemuliaan padanya seperti memindah suatu barang ke tempat lain.