Basmalah dan hukum hakam mengenainya

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI SATU

Rutin kehidupan seorang muslim semestinya tidak sunyi daripada Basmalah. Walaupun lafaz Basmalah merupakan satu bacaan rutin yang biasa diucapkan oleh seorang muslim dalam kehidupan sehariannya, ia bukanlah satu lafaz biasa.

Membaca Basmalah sebelum mengerjakan perbuatan atau pekerjaan akan mendatangkan serta menambahkan keberkatan pada perbuatan dan pekerjaan yang dilakukannya dan akan menutup semua pintu bagi campur tangan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mengganggu dan menyesatkan manusia.

Basmalah pada dasarnya disyariatkan untuk dibaca pada permulaan setiap perkara yang hendak dikerjakan selagi mana ia bukan perkara yang bertentangan dengan hukum syarak. Sungguhpun demikian, terdapat banyak persoalan hukum mengenai Basmalah ini yang perlu kita ketahui.

Lafaz Basmalah

Lafaz Basmalah yang paling afdhal ialah Bismillahirrahmanirrahim. Bagaimanapun, jika dibaca secara ringkas dengan lafaz Bismillah, maka yang demikian itu sudah memadai, akan tetapi ia tidaklah setanding dengan lafaz lengkapnya yang telah disebutkan tadi.

Hukum membaca Basmalah bagi orang yang dalam haid, nifas atau junub

Menurut ulama, orang yang berada dalam keadaan hadas besar diharuskan untuk membaca Basmalah dengan syarat dia meniatkan bacaan Basmalah tersebut sebagai zikir sahaja dan bukan meniatkannya sebagai membaca Al-Quran.

Tidak sah sembahyang seseorang itu jika dia meninggalkan Basmalah dalam bacaan surah al-Fatihah. – Gambar fail

Hukum basmalah dalam sembahyang

1. Bacaan Basmalah dalam Surah Al-Fatihah

Ulama mazhab asy-Syafi‘e bersepakat bahawa Basmalah adalah salah satu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan merupakan ayat pertama daripada surah tersebut.

Maka bersabit daripada itu, ia wajib dibaca dalam sembahyang kerana keadaannya sama sahaja seperti ayat-ayat yang lain dalam Surah Al-Fatihah.

Ini kerana sepertimana yang dimaklumi, membaca Surah Al-Fatihah dalam sembahyang itu adalah wajib. Jadi setiap baris, huruf, perkataan serta ayat daripada surah al-Fatihah itu mestilah dibaca dengan sempurna kerana perkara ini merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dalam sembahyang.

Maka tidak sah sembahyang seseorang itu jika dia meninggalkan ucapan Basmalah dalam bacaan Surah Al-Fatihah.

Salah satu dalil yang dijadikan sandaran bagi pendapat ini ialah para sahabat telah ijmak (bersepakat) untuk mensabitkan atau meletakkan Basmalah itu pada awal tiap-tiap surah (kecuali Surah At-Taubah) dan tidak membezakannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Menurut ulama, ijmak para sahabat ini menunjukkan bahawa Basmalah pada awal tiap surah melainkan Surah At-Taubah adalah satu daripada ayat Al-Quran.

Tidak mungkin para sahabat mensabitkan atau meletakkan Basmalah itu dalam mushaf tanpa membezakannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang lain jika Basmalah pada awal tiap surah, melainkan Surah At-Taubah itu, bukan sebahagian daripada Al-Quran kerana perkara ini akan menimbulkan kekeliruan atau sangkaan yang tidak tepat bahawa suatu ayat yang bukan daripada ayat-ayat Al-Quran itu adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran terutama sekali bagi generasi-generasi kemudiannya.

Ini sesuai dengan tujuan pengumpulan Al-Quran dalam satu mushaf itu sendiri yang mana antaranya bertujuan untuk memelihara Al-Quran daripada ditokok tambah atau diubah suai, serta bagi membezakan ayat-ayat Al-Quran daripada yang lainnya.

Adapun Al-Quran sebelum itu hanyalah berupa hafalan di dada para sahabat serta tulisan pada pelepah kurma dan sebagainya yang bercerai-cerai dan belum terbentuk dalam satu mushaf.

Maka dari itu dengan sendirinya apa sahaja ayat-ayat mahupun surah-surah yang disabitkan oleh para sahabat untuk dituliskan atau dikumpulkan dalam mushaf Al-Quran itu adalah Al-Quran.

Sunat menjahrkan (membaca secara nyaring) bacaan Basmalah dalam surah al-Fatihah dalam sembahyang-sembahyang yang disunatkan untuk membaca secara jahr padanya dan sebaliknya pula sunat mengisrarkan (membaca secara perlahan) bacaan Basmalah itu dalam sembahyang-sembahyang yang disunatkan untuk membaca secara israr padanya.

2. Bacaan Basmalah dalam surah selain Surah al-Fatihah

Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab asy-Syafi‘e, selain daripada Surah Al-Fatihah, Basmalah juga adalah ayat awal bagi surah-surah yang lain kecuali Surah at-Taubah yang mana para ulama secara keseluruhannya telah bersepakat bahawa Basmalah bukanlah ayat awal daripada Surah At-Taubah itu.

Sepertimana Surah Al-Fatihah, disunatkan juga untuk menjahrkan bacaan Basmalah dalam surah-surah tersebut dalam sembahyang-sembahyang yang disunatkan untuk membaca secara jahr padanya dan mengisrarkan bacaan dalam sembahyang-sembahyang yang disunatkan untuk membaca secara israr padanya.

Hukum Basmalah di luar sembahyang

Selain disyariatkan untuk dibaca dalam sembahyang, Basmalah juga sunat dibaca dalam perkara-perkara lain, sama ada perkara-perkara ibadah ataupun bukan.

Penjelasannya adalah seperti berikut:

1. Membaca Basmalah ketika hendak memasuki tandas

Ulama bersepakat bahawa sunat membaca Basmalah sebelum memasuki tandas tidak kira sama ada tandas itu terletak dalam kawasan binaan seperti rumah atau bangunan ataupun terletak di kawasan luar seperti hutan, kawasan lapang, padang pasir dan sebagainya.

Dalam hal ini, Basmalah itu tetap sunat dibaca tidak kira sama ada tujuannya memasuki tandas itu adalah kerana hendak membuang air ataupun hajat-hajat lain seperti mandi, berus gigi dan sebagainya.

Adapun lafaz Basmalah yang disunatkan untuk dibaca sebelum memasuki tandas itu ialah Bismillah sahaja tanpa menyebutkan Rahmanirrahim dan kemudian menyambungnya dengan bacaan yang sunat dibaca ketika hendak memasuki tandas sepertimana yang warid daripada Rasulullah.

Lafaz lengkap bacaan tersebut setelah digabungkan dengan Basmalah yang tafsirnya:

“Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari syaitan jantan dan syaitan betina.”

2. Membaca Basmalah ketika hendak berwudhu

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, hukum membaca Basmalah dan melafazkannya pada permulaan wudhu itu adalah sunat.

Adapun maksud permulaan wudhu di sini ialah ketika mula membasuh kedua tangan hingga ke pergelangan pada permulaan wudhu.

Sekurang-kurang lafaz Basmalah pada permulaan wudhu itu ialah Bismillah dan yang lengkapnya ialah Bismillahirrahmanirrahim.

Lafaz Basmalah yang lengkap ini adalah lafaz yang paling afdhal untuk dibaca pada permulaan wudhu sekalipun bagi orang yang berhadas besar.

Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya Fath al-Mu‘in, bahawa sunat membaca ta‘awwuz (Auzubillah Minashaitan Nirajeem) sebelum membaca Basmalah pada permulaan wudhu itu.

Kemudian selepas Basmalah pula disunatkan untuk membaca dua kalimah Syahadah serta bacaan berikut yang tafsirnya:

“Dan segala puji bagi Allah yang menjadikan air itu bersih sebagai penyuci”.

Jika dia terlupa untuk membaca Basmalah pada permulaan wudhu, kemudian teringat kembali untuk membacanya pada pertengahan wudhu atau pada bila-bila masa dalam wudhunya itu, ataupun dia sengaja meninggalkan Basmalah itu pada permulaan wudhu, maka supaya wudhunya itu tidak sunyi daripada nama Allah, sunat dia membaca Basmalah pada ketika itu juga dengan lafaz berikut yang tafsirnya:

“Dengan nama Allah pada awal serta akhirnya”.

Jika dia tidak juga membaca Basmalah sehingga selesai mengerjakan wudhu, maka dalam hal ini dia tidak lagi dituntut untuk membacanya kerana waktu untuk membaca Basmalah itu sudah pun luput dengan sempurnanya wudhu yang telah dikerjakannya itu.

Bagaimanapun, jika tidak dibaca Basmalah pada permulaan atau pada bila-bila masa dalam wudhunya itu, maka ini tidaklah menjejaskan wudhu yang dikerjakannya, bahkan wudhunya itu tetap sah.

Ini kerana Basmalah itu bukanlah salah satu daripada syarat sah mahupun perkara wajib dalam wudhu, bahkan ianya hanyalah sunat sahaja.

3. Membaca Basmalah ketika hendak tayammum

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘e, sunat membaca Basmalah pada permulaan tayammum dengan melafazkan Bismillah atau yang lengkapnya Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam hal ini, tidak ada beza sama ada tayammum itu dikerjakan kerana hendak mengangkat hadas kecil ataupun hadas besar.

Jika terlupa untuk membaca Basmalah pada permulaan tayammum kemudian teringat kembali untuk membacanya ketika masih dalam mengerjakan tayammum, maka sunat dia membacanya pada waktu tersebut.

Sekiranya dia meninggalkan Basmalah itu sama ada secara sengaja ataupun tidak, tayammum yang dikerjakannya itu tetap sah.

4. Membaca Basmalah ketika hendak mandi junub

Menurut pendapat jumhur ulama mazhab asy-Syafi‘e, sunat bagi orang yang hendak mengerjakan mandi junub supaya membaca Basmalah dengan lafaz Bismillah.

Menurut ulama, jika dia membaca Basmalah dengan lafaznya yang lengkap iaitu Bismillahirrahmanirrahim, maka yang demikian itu adalah harus dengan syarat dia meniatkan bacaan tersebut sebagai zikir sahaja dan bukannya sebagai membaca Al-Quran.