KUALA LUMPUR, 23 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam berkongsi kaedah siasatan dalam menangani kes siasatan rasuah rentas sempadan.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, menerusi Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Ke-13 yang diadakan pada Jumaat, kedua-dua pihak membincangkan kaedah penyiasatan serta transformasi positif ke arah memantapkan keupayaan agensi.
Dalam mesyuarat itu, SPRM diwakili Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dan pegawai kanan SPRM manakala BMR diwakili oleh Timbalan Pengarah BMR, Awang Sufian Sabtu serta para pegawai yang lain.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Kali Ke-15 pada Khamis di mana kedua-dua agensi berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai kes yang dikendali melalui penggunaan inisiatif Intelligance Based Investigation (IBI Method).
Selain itu, SPRM turut mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-3 dengan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura, hari ini.
“Pertemuan antara Kumpulan Kerja SPRM dan CPIB telah membuahkan hasil bagi pelaksanaan insiatif serta kerjasama dalam keperluan siasatan dan operasi,” kata SPRM.
Menurut SPRM, jalinan rangkaian kerja itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pegawai SPRM dan CPIB sebagai satu cara membantu para pegawai menjalinkan jaringan kerja antara kedua-dua agensi.
“Ini bagi memudahkan pelaksanaan tugas kedua-dua agensi terutama di negeri berdekatan dengan Singapura seperti Johor,” kata SPRM. – Bernama