Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    BASMIDA dijemput hadiri sidang di Pulau Pinang

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Sebagai sebuah persatuan yang terus memainkan peranannya sebagai persatuan antidadah di negara ini, Persatuan BASMIDA telah dijemput untuk menghadiri Bengkel Bandar Bebas Asap Serantau ke-5 dan Sidang Kemuncak Pemimpin dan Juara Bebas Asap di ASEAN yang diadakan di Pulau Pinang, Malaysia bermula hari ini hingga 22 Julai.

    BASMIDA yang diwakili oleh Yang Di-Pertua BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Timbalan Yang Di-Pertua BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah berlepas untuk menghadiri bengkel dan sidang kemuncak berkenaan, hari ini, atas jemputan daripada Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA).

    Bengkel dan sidang kemuncak selama empat hari itu dianjurkan oleh SEATCA dengan kerjasama dari Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat bersama-sama Framework Convention Alliance (FCA), Smoke-Free Cities ASEAN Network (SCAN), Smoke-Free Heritage Sites Alliance dan disokong oleh Bill & Melinda Gates Foundation.

    Bengkel serantau itu bermatlamat untuk mengongsi perkembangan terkini dan mempelajari amalan-amalan terbaik negara-negara, bandar dan tempat yang bebas asap rokok di rantau ASEAN. Bengkel itu juga menyediakan Penang Declaration for Smoke-Free Kids Day Out (Home-Transportation-Public Places).

    Datin Hajah Masni dalam temu bual ringkas sebelum berlepas ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei berkata bahawa memandangkan peranan yang dimainkan oleh BASMIDA dan usaha yang dilaksanakannya dalam menentang penggunaan tembakau, jemputan bagi BASMIDA untuk menyertai bengkel dan sidang kemuncak berkenaan adalah amat bertepatan.

    Datin Hajah Masni dan Hajah Linda Aini mewakili BASMIDA untuk menghadiri Bengkel Bandar Bebas Asap Serantau ke-5 dan Sidang Kemuncak Pemimpin dan Juara Bebas Asap di ASEAN yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia.
    Datin Hajah Masni dan Hajah Linda Aini mewakili BASMIDA untuk menghadiri Bengkel Bandar Bebas Asap Serantau ke-5 dan Sidang Kemuncak Pemimpin dan Juara Bebas Asap di ASEAN yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia.

    Semasa bengkel itu nanti, ulasnya, beliau akan membentangkan dan menyampaikan maklumat mengenai usaha yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal asap tembakau di Brunei termasuk promosi pendidikan kesihatan dan penyediaan poster-poster sekolah yang telah dibuat oleh BASMIDA.

    Poster-poster berkenaan telah dihasilkan dengan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan di mana ia mengandungi maklumat mengenai peraturan yang melarang merokok di tempat-tempat awam.

    Semasa bengkel itu nanti, Datin Hajah Masni juga akan mengetengahkan beberapa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kawalan tembakau yang mencerminkan kebimbangan Baginda terhadap kesan negatif merokok pada kesihatan dan alam sekitar.

    Orang ramai mampu memainkan peranan dan memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk mengawal tembakau di mana BASMIDA akan terus meneroka serta mengongsi kaedah dan pengalaman dengan peserta lain di bengkel berkenaan dan menyeru orang ramai untuk menyokong usaha menjana alam sekitar bebas asap khususnya bagi manfaat kanak-kanak dan mereka yang tidak merokok.

    BASMIDA juga merasakan bahawa untuk melindungi kanak-kanak daripada toksin asap rokok pasif merupakan tanggungjawab bersama.

    Menurut BASMIDA, salah satu perisian bengkel itu nanti, merupakan sebuah mesyuarat berkonsepkan dewan bandar di mana mereka akan membincangkan mengenai mengharamkan merokok di hadapan kanak-kanak daripada rumah ke kereta, ke tempat-tempat awam termasuk taman di mana para peserta bengkel akan mengemukakan idea serta pengalaman mereka mengenai kaedah yang akan meningkatkan keberkesanan langkah-langkah untuk mencapai matlamat bebas asap.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda