Batal konsert demi lindungi alam sekitar

Kumpulan rock British, Coldplay tidak akan mengadakan konsert jelajah untuk mempromosikan album baharu mereka berjudul Everyday Life kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Vokalis, Chris Martin, berkata, mereka mengambil masa untuk melihat bagaimana siri jelajah itu dapat memberi manfaat secara aktif kepada alam sekitar. Menurutnya, Coldplay akan berasa kecewa jika mana-mana program jelajah tersebut tidak ‘neutral karbon’.

Berita yang pasti memeranjatkan peminat kumpulan itu diumumkan menjelang pelancaran album baharu mereka yang menyaksikan Coldplay membuat dua persembahan di Amman, Jordan yang boleh disaksikan secara langsung menerusi YouTube pada Jumaat lalu.

Kali terakhir Coldplay melakukan siri jelajah adalah menerusi album A Head Full of Dreams pada 2016 dan 2017 yang mana mereka telah membuat 122 persembahan merentasi empat benua.

Sebagai respons terhadap berita itu, Ketua Perubahan Iklim di Tabung Hidupan Liar (WWF), Gareth Redmond-King turut menyambut baik keputusan dibuat band popular tersebut.

“Sangat menakjubkan untuk melihat artis terkenal di dunia seperti mereka mengambil langkah untuk melindungi planet ini. Kita semua ada tanggungjawab untuk menjadi contoh dalam menghadapi krisis iklim ketika ini. Ia bukan satu pilihan kerana kita melindungi bumi untuk generasi akan datang,” katanya. – Agensi

Coldplay tidak akan mengadakan konsert jelajah untuk mempromosikan album baharu mereka berjudul Everyday Life kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar. – Agensi