TUTONG, 16 April – Perlawanan menembak The Land Force Skills at Arms Meet (LFSAAM) yang dihoskan oleh Batalion Bantu, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) pada 8 April berakhir pada hari ini, di Padang Tembak Binturan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Upacara Penutup LFSAAM 2019 adalah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed bin Haji Lampoh. Turut hadir adalah Timbalan Pemerintah TDDB, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan jemputan khas.
Sejurus tiba, tetamu kehormat disambut oleh Pengerusi Perlawanan LFSAAM 2019, Leftenan Kolonel Haji Rony Zai bin Haji Zaini. Pemerintah TDDB juga turut menyaksikan perlawanan Final Rifle Match 5 dan menyertai Novelty Shoot.
Batalion Bantu, TDDB muncul johan keseluruhan bagi LFSAAM 2019, naib johan pula diraih oleh Batalion Pertama, TDDB dan tempat ketiga disandang oleh Khidmat Bantuan Kombat, TDDB. Upacara diakhiri dengan penyerahan bendera dan bergambar ramai.
Antara tujuan perlawanan ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada para peserta mempamerkan kemahiran menembak masing-masing, sementara memupuk daya saing di antara unit-unit TDDB.
Ianya juga adalah persiapan TDDB dalam pengendalian dan perlaksanaan kejohanan ASEAN Armies Rifles Meet (AARM) yang akan diungkayahkan pada 2020.